Jangan biarkan ‘pisang berbuah dua kali’

Jangan biarkan ‘pisang berbuah dua kali’

ONN Hafiz Ghazi (tengah) turut menyasarkan kemenangan dengan mandat lebih besar di DUN Machap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, DATUK ONN HAFIZ GHAZI memikul tugas besar bagi mengetuai parti itu termasuk sebagai calon Menteri Besar dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan mencapai kemuncaknya esok.

Meski pelbagai rekod kejayaan dilakar sepanjang empat tahun lebih mentadbir negeri Johor termasuklah berjaya menarik pelaburan bernilai RM110 bilion namun ia masih dilihat tidak mencukupi apabila pemimpin lawan terus memainkan pelbagai sentimen negatif untuk mempengaruhi pengundi.

Wartawan Utusan Malaysia, KHAIRUL MOHD. ALI menemu bual calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap itu menjelang saat-saat akhir tempoh berkempen khususnya tentang strategi diambil bagi menambat sokongan lebih 2.7 juta pemilih.

UTUSAN: Adakah hasrat BN untuk memenangi 40 kerusi DUN seperti PRN lalu boleh dicapai ?
ONN HAFIZ: Bacaan saya baik, Alhamdulillah kempen yang digerakkan jentera setiap parti komponen sama ada di peringkat negeri mahupun luar telah berjalan dengan baik.
Kami sudah santuni seramai mungkin pengundi melalui pelbagai platform termasuk aktiviti turun padang dan juga di media sosial. Kami mahu dekati semua pengundi daripada pelbagai latar belakang.

Tetapi saya masih risau sekiranya peristiwa pada 2018 berulang kembali. Ketika itu rakyat diberikan harapan palsu, janji kosong setinggi bulan dan bintang sehingga mereka ‘termakan’ hasutan tersebut dan mengundi berdasarkan sentimen-sentimen berkenaan.

Namun pada masa sama saya yakin Bangsa Johor bijak membuat keputusan berdasarkan fakta dan rekod-rekod kami. Saya ya­kin mereka tidak akan benarkan ditipu lagi, mereka tidak akan benarkan pisang berbuah dua kali.

Insya-Allah, kami yakin boleh capai kemenangan sekali gus mentadbir semula kerajaan ne­geri Johor. Apakah angka 40 kerusi atau lebih itu akan tercapai atau tidak, kita serahkan kepada pe­ngundi untuk buat keputusan.

Lawan memainkan sentimen mendakwa kerajaan negeri gagal membawa pembangunan seimbang seperti inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dikatakan tidak memberikan manfaat kepada rakyat di kawasan utara dan timur Johor.
Jika mereka dakwa begitu, bagaimana dengan projek Maharani Energy Gateway di Muar? Di Mersing kita fokus sektor pelancong manakala di Segamat kita fokus kepada sektor pertanian.
Bukan semua tempat di ne­geri ini perlukan inisiatif seperti JS-SEZ tetapi itu tidak bermakna kami tidak buat apa-apa untuk kawasan lain. Beratus juta dibelanjakan dalam tempoh empat tahun lebih ini di setiap peringkat DUN.

Mungkin pemimpin tersebut tidak tahu kerana mereka bukan orang Johor, mereka tidak tinggal di negeri ini sebaliknya hanya hadir ketika tempoh berkempen untuk datang menghasut pengundi. Dakwaan-dakwaan mereka adalah perkara yang tidak benar.

Sebagai contoh pimpinan ter­tinggi mereka kata kerajaan ne­geri tidak buat apa-apa soal perumahan sedangkan kami sudah bina lebih 20,000 perumahan mampu milik. Kami juga bantu sewa rumah, bantu beli rumah, bantu baik pulih rumah, untuk orang miskin kita bantu bina rumah.

Bagaimana dengan isu pe­laburan RM110 bilion yang dikatakan hanya indah di atas kertas?
Kami telah buktikan sepanjang empat setengah tahun memimpin negeri ini, pelbagai polisi dan dasar dibuat sehingga menyaksikan keputusan positif daripada segi pelaburan tertinggi dalam negara, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor juga meningkat.

Semua perolehan itu kemudiannya dipulangkan kepada rakyat Johor tanpa mengira perbezaan latar belakang termasuklah usia, kaum atau agama. Sebagai contoh menerusi inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ), kami santuni mereka yang terdiri daripada pelbagai golongan.

Ia termasuklah menangani permasalahan dihadapi seperti perumahan, golongan mahasiswa, pendidikan, peluang pekerjaan, perniagaan dan lain-lain. Namun begitu, saya akui masih banyak lagi yang boleh dicapai sekiranya rakyat terus bekerja­sama dengan kami untuk memastikan dasar dan polisi yang digerakkan bermula tahun 2022 akan dapat diteruskan sehingga tahun 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat Johor memilih kerajaan yang selari dengan pentadbiran di peringkat Pusat. Bagaimana Datuk melihat dakwaan kerajaan ne­geri berlainan akan menghalang pembangunan di Johor?
Dalam konteks pilihan raya, perbezaan pendapat itu adalah perkara yang biasa. Namun begitu selepas pilihan raya berakhir dan rakyat telah buat pilihan, pe­mimpin perlu bersikap profesional kerana yang menjadi pertimbangan adalah kehidupan lebih empat juta rakyat Johor.

Sebagai Perdana Menteri, beliau tetap perlu menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat negeri ini walaupun parti politik dipimpin beliau tewas, beliau tidak boleh berkhidmat kepada penyokong Pakatan Harapan sahaja. Perdana Menteri perlu menjaga semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik, agama atau bangsa.

Sama juga dengan saya, kita perlu jaga semua, tidak kira sama ada rakyat berkenaan mengundi saya, calon-calon parti saya atau tidak kita akan tetap santuni mereka kerana ini tanggungjawab kita kepada rakyat Johor. Jadi sebagai pemain sikap profesionalisme itu adalah sangat penting.

Pada akhirnya, serangan-serangan yang dibuat kepada diri saya, gelaran budak-budak saya tidak ambil hati. Perkara itu tidak ganggu fokus saya untuk terus berkhidmat kepada rakyat Johor di seluruh negeri.

Bagaimana Datuk melihat melihat perjalanan kempen di DUN Machap dan harapan pe­ngundi-pengundi kawasan itu?
Saya rasa orang Machap tahu apa yang kami sudah buat selama empat tahun lebih di kawasan tersebut. Buat rakyat dan penduduk di Machap, saya merayu sekali lagi agar diberi amanah untuk mewakili mereka sekali gus membawakan lebih banyak pembangunan di situ.

Insya-Allah saya tidak akan sia-siakan tanggungjawab dan kepercayaan yang telah mereka berikan kepada saya. Di Ma­chap, saya sasarkan kemenangan de­ngan mandat yang lebih besar daripada pengundi di kawasan tersebut.

Apa nasihat kepada rakyat Johor termasuklah mereka yang tingal di luar negeri dan Singapura menjelang hari pengundian esok?
Saya harap rakyat Johor yang bermastautin dalam negeri akan berkongsi dengan ahli keluarga atau rakan-rakan mereka yang menetap di negeri-negeri lain tentang kejayaan serta pemba­ngunan yang telah kami lakukan dalam negeri sejak lebih empat tahun lalu.

Lebih daripada itu, kongsikan kepada mereka tentang bagaimana pemimpin BN menyantuni rakyat Johor, kami tidak lupa kebajikan mereka sama ada Melayu, Cina, India atau lain-lain.
Biar pengundi Johor tahu fakta dan realiti sebenar kehidupan di negeri ini daripada kaca mata rakyatnya sendiri dan bukan daripada pihak luar yang akhirnya selepas tamat tempoh kempen, mereka akan pulang ke negeri masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN