Hubungan Malaysia-Norway dinilai semula

Hubungan Malaysia-Norway dinilai semula

MOHAMED Khaled Nordin bertemu salah seorang penduduk ketika mengadakan Program Ziarah Kasih di Felda Pasak, Kota Tinggi, Johor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Malaysia perlu menilai semula hubungan dua hala dengan Norway susulan tindakan negara itu yang membatalkan eksport peluru berpandu anti kapal (NSM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan tersebut menjejaskan kepercayaan dan tidak menghormati hubungan dua hala yang telah lama dibina sebelum ini.

Katanya, pembatalan itu juga jelas menunjukkan Norway tidak menghargai hubungan erat selama ini yang dibina bersama Malaysia.

“Pada saya, Norway tidak meng­hargai hubungan kita yang telah lama dibina. Malah, saya sendiri telah sampaikan perkara itu kepada Timbalan Menteri Luar Norway, Andreas Motzfeldt Kravik dan Duta Marianne Fosland bahawa tindakan tersebut jelas memperlihatkan sikap tidak menghormati serta tidak menghargai hubungan selama.

“Justeru, kita perlu memikirkan sama ada wajar hubungan ini diteruskan kerana setiap hubu­ngan yang diwujudkan berasaskan kepercayaan. Apabila kepercayaan itu sudah hilang, sukar untuk meneruskan hubungan seperti biasa. Pada ketika ini, kita sudah tidak lagi percaya kepada Norway,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Program Ziarah Kasih di Felda Pasak, di sini semalam.

Kerajaan Norway sebelum ini membatalkan lesen eksport peluru berpandu NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi ke­selamatan negara itu.

Menurut laman sesawang KDA, perolehan NSM dimeterai di antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak kira-kira RM571.9 juta bagi melengkapkan enam kapal tempur pesisir (LCS) baharu.

Susulan itu, Malaysia menuntut RM1.06 bilion daripada KDA ekoran pembatalan NSM dengan merangkumi tuntutan langsung sebanyak kira-kira RM604 juta iaitu bayaran yang sudah dibuat oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan tidak akan mempertimbangkan sebarang perolehan aset pertahanan daripada Norway pada masa akan datang susulan tindakan negara itu membatalkan lesen eksport peluru berpandu anti kapal (NSM) yang telah dipersetujui sebelum ini.

Berkata perkara itu telah dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam dan mendapat persetujuan kerajaan.

Jelasnya, kerajaan juga akan meneliti semula kedudukan kontrak lain sedia ada dengan Norway dan berkemungkinan tidak akan menyambungnya apabila tempoh kontrak berkenaan berakhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN