JERANTUT: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib menimpa seorang bekas pekerja sebuah syarikat perladangan di sini, apabila dia bukan sahaja terpaksa bertarung nyawa melawan penyakit ketumbuhan di kepala, malah kini hilang punca pendapatan selepas diberhentikan kerja, pertengahan bulan ini.
Mohd. Zahidat Ishak, 47, yang kini menetap di rumah pekerja Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) Tekam, mengakui kehidupan keluarganya ketika ini terumbang-ambing sehingga pernah beberapa kali terputus bekalan beras di rumah.
“Saya diberi cuti sakit beberapa bulan sehinggalah menerima surat penamatan kontrak pekerjaan. Sepanjang tempoh bercuti, saya langsung tiada pendapatan.
“Saya reda kerana sedar fizikal saya tidak lagi mampu untuk bekerja. Terima kasih juga kepada pihak pengurusan yang masih membenarkan kami menumpang di rumah pekerja ini buat sementara waktu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mohd. Zahidat berkata, sejak tidak bekerja, dia buntu memikirkan perbelanjaan keluarga terutama kos bagi berulang-alik menjalani rawatan di hospital selain ersekolahan anak perempuannya yang berusia 11 tahun.
Katanya, dia masih menunggu wang pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk sara hidup bulanan khususnya menampung belanja rawatan penyakit ketumbuhan dan masalah penglihatan.
Sementara itu, isterinya, Hamidah Mat Ali, 49, berkata, bagi mengurangkan beban dia juga mengambil upah menjaga seorang anak jirannya.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menghubungi Hamidah di nombor 0179383270 atau salurkan terus ke akaun Bank Islam 06055020323334 (Hamidah Mat Ali)-UTUSAN.










