Elak Tabung Haji berdepan krisis

Elak Tabung Haji berdepan krisis

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga tentera dalam Program Semarak Kenegaraan di Hangar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson, semalam. – UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Datuk Seri An­war Ibrahim menjelaskan, keputusan tidak mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) tiga tahun lalu dibuat bagi mengelakkan krisis keyakinan yang boleh menyebabkan institusi tersebut ‘gulung tikar’.

Perdana Menteri berkata, jika laporan penyelewengan pengurusan terdahulu yang didakwa mengakibatkan kerugian melebihi RM10 bilion diterbitkan ketika itu, pendeposit berkemungkinan besar akan mengeluarkan simpanan mereka sehingga menjejaskan kedudukan kewangan TH.

Menurutnya, selepas tiga tahun di bawah pengurusan baharu diterajui Tan Sri Abdul Rashid Hussain, TH kini kembali stabil dan kukuh sekali gus membolehkan laporan tersebut didedahkan.

“Bila ada yang tanya kenapa tiga tahun lalu tidak diumumkan, saya jelaskan kalau ketika itu laporan dikeluarkan, rak­yat akan hilang keyakinan dan mengeluarkan wang mereka. Akhirnya Tabung Haji boleh gulung tikar.

“Selepas tiga tahun de­ngan pengurusan baharu yang cemerlang, Tabung Haji kini kembali bertapak kukuh,” katanya berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, semalam.

Kelmarin Anwar berkata, laporan RCI TH akan didedahkan kepada umum selewat-lewatnya Rabu ini, selepas dirujuk kepada Jemaah Menteri.

Beliau dalam pada itu ber­kata, isu yang dibangkitkan menerusi laporan RCI itu bukan bermotifkan politik, sebaliknya membabitkan soal kedaulatan, integriti dan tatakelola negara.

Beliau menegaskan keraja­an tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan, terutama membabitkan institusi yang menguruskan simpanan umat Islam.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut memaklumkan Lembaga Kemajuan Tanah Per­sekutuan (Felda) masih menanggung beban hutang akibat salah urus pentadbiran terdahulu.

Katanya, kerajaan kini terpaksa memperuntukkan kira-kira RM980 juta setiap tahun bagi membayar hutang lama Felda supaya kebajikan pene­roka tidak terjejas.

“Saya tidak tergamak me­ngambil wang Felda atau pene­roka kerana itu bukan kesilapan mereka, tetapi kesilapan pengurusan atasan. Sebab itu kerajaan menggunakan dana negara untuk melunaskan hutang tersebut,” katanya.

Mengenai tarif 10 peratus dikenakan Amerika Syarikat (AS), Anwar berkata, Malaysia menyambut baik kadar itu ke­rana ia lebih rendah berban­ding kebanyakan negara lain.

Bagaimanapun katanya, ke­rajaan akan terus mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif baharu berkaitan isu buruh paksa sekiranya keputusan yang diterima masih belum memuaskan.

“Tarif yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump, setakat ini kita terima walaupun kita dah utuskan perundingan daripada Tengku Zafrul (Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz) dan sekarang ini Datuk Seri Johari Ghani (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani) meneruskan.

“Kalau ada beberapa aspek yang tidak memuaskan, kita akan bangkitkan lagi. Tapi sekurang-kurangnya sekarang ini, kita rasa lega kerana tarifnya relatif rendah berbanding dengan banyak negara lain,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan sebuah lagi kapal milik Petronas yang berjaya melalui Selat Hormuz akan dijangka tiba di Melaka pada awal Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN