Dunia Islam perlu berani perbaharui pendekatan tanpa abai nilai asas

Dunia Islam perlu berani perbaharui pendekatan tanpa abai nilai asas

SAARANI Mohamad berucap di majlis penutup Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2026 (WCIT 2026) anjuran Universiti Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Umat dan dunia Islam perlu berani memperbaharui pendekatan bagi mendepani perubahan zaman tanpa meninggalkan nilai yang menjadi asas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembaharuan tersebut mesti terus dipandu oleh amanah, keadilan, rahmah, kesederhanaan dan tanggungjawab terhadap manusia serta alam.

“Ini supaya setiap perubahan membawa manfaat yang lebih adil dan berkekalan. Sesungguhnya tamadun Islam tidak dibina semata-mata kerana keluasan wilayah atau kekuatan ekonominya.

“Ia dihormati kerana berjaya melahirkan masyarakat yang menjunjung ilmu, memelihara keadilan, menghormati maruah insan serta berani meneroka pelbagai cabang pengetahuan untuk manfaat manusia sejagat,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutup Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2026 (WCIT 2026) anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar.

Persidangan tersebut berlangsung dari 21 hingga 23 Julai yang telah berkenan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Penganjuran dwitahunan itu mengumpulkan tokoh ilmuwan, pemikir serta penyelidik, pemimpin serta pemain industri dari pelbagai negara bagi membincangkan isu semasa terutama mengenai cabaran dunia Islam.

Dalam ucapannya lagi, Saarani berkata, apabila berbicara tentang kebangkitan tamadun Islam, yang perlu dihidupkan bukan hanya nostalgia kegemilangan masa lalu, tetapi nilai-nilai yang pernah menjadikan tamadun itu contoh kepada dunia.

Beliau berkata, kepimpinan perlu difahami sebagai amanah yang menuntut kejujuran, ketelusan dan kesediaan untuk dipertanggungjawabkan, manakala institusi yang kukuh serta pelaksanaan undang-undang secara adil menjadi asas kepada kestabilan sesebuah negara.

“Kestabilan pula tidak bermaksud menutup ruang perbezaan atau perbahasan, tetapi memastikan setiap perbezaan diurus melalui institusi yang sah, adab yang terpelihara dan rasa hormat terhadap hak pihak lain,” katanya.

Ujarnya, WCIT 2026 mengangkat tema Everyone Matters: Pride and Unity in Islam, yang bermakna setiap insan mempunyai nilai, maruah dan kedudukan tanpa mengira latar belakang.

Katanya, dapatan hasil persidangan itu perlu dikembangkan melalui kerjasama yang lebih tersusun antara universiti, kerajaan, industri dan pertubuhan masyarakat.

Kata Saarani, perpaduan perlu dibina melalui rasa kepunyaan, iaitu apabila setiap warga dihormati, dilindungi oleh undang-undang dan diberikan peluang yang adil untuk menyumbang, manakala kesatuan pula tidak menuntut kita menghapuskan perbezaan tetapi mengurus kepelbagaian dengan kebijaksanaan.

“Perpaduan akhirnya bukan dibina melalui slogan, tetapi melalui keyakinan bahawa setiap insan dihargai dan setiap suara mempunyai tempat dalam masyarakat,” katanya.

Jelas beliau, pendekatan tersebut selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan keperluan rakyat sebagai pertimbangan utama, memastikan pelaburan dan projek strategik diterjemahkan kepada pekerjaan, peningkatan kemahiran, perkembangan perusahaan tempatan serta mutu kehidupan lebih baik.

“Kerajaan Negeri Perak akan terus menyokong usaha yang memperkukuh budaya ilmu, inovasi, persefahaman antara masyarakat serta kerjasama antarabangsa yang memberikan manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN