PETALING JAYA: Syarikat teknologi acara tempatan, Caritapak.my mengumumkan platformnya sebagai sistem operasi bersepadu pertama khusus untuk industri acara dan sewaan jangka pendek di Malaysia.
Inovasi itu bertujuan untuk berkembang ke rantau ASEAN bagi menangani tiga cabaran utama yang sekian lama membelenggu industri tersebut iaitu komunikasi tidak selaras, pematuhan vendor yang tidak konsisten terhadap undang-undang dan terma penyertaan, serta proses kewangan manual dan rumit.
Pengasas Caritapak.my, Haziq Hamid berkata, selama ini penganjur acara (EO) dan vendor di Malaysia menguruskan operasi mereka menerusi pelbagai saluran tidak rasmi seperti aplikasi pemesejan (Telegram, WhatsApp), hamparan data (spreadsheet) serta ketiadaan kontrak bertulis yang formal.
Selain itu, katanya, proses pengesahan lesen dan permit vendor sering dilakukan secara manual dan tidak konsisten, manakala pembayaran kepada vendor boleh memakan masa berbulan-bulan selepas acara berakhir.
Kekangan lain, tambah beliau, tiada sistem tunggal yang membolehkan EO memantau status pematuhan vendor, baki pembayaran, komunikasi, serta analisis data ekonomi acara secara masa nyata.
“Caritapak.my dibangunkan untuk menutup jurang ini. Ramai menyangka industri acara ini mudah dan menyeronokkan, namun hakikatnya, pengurusan di sebalik tabir amat mencabar.
“Industri acara dan sewaan jangka pendek di Malaysia mempunyai permintaan yang sangat tinggi, namun ia masih bergerak atas dasar kepercayaan semata-mata,” katanya dalam kenyataan.
Meurut Haziq, sebanyak 90 peritus penganjur masih beroperasi secara manual yang menjejaskan kecekapan pengurusan.
Justeru katanya, Caritapak.my mahu menormalisasikan acara yang mematuhi undang-undang Malaysia melalui mekanisme teknologi perisian yang mampu menganalisis data ekonomi acara secara tepat termasuk jumlah pengunjung, transaksi jualan vendor, dan profil kuasa pembeli untuk penambahbaikan pada masa hadapan.
Kata beliau, platform itu menghubungkan penganjur acara dan vendor dalam satu sistem yang menggabungkan aspek pematuhan, komunikasi, dan kewangan.
“Pengguna kini boleh memantau pemilihan tapak, status dokumentasi, terma kontrak, dan jadual pembayaran di satu tempat, berbanding perlu merujuk pelbagai saluran yang berasingan,” katanya.

Haziq berkata, platform Caritapak.my direka bentuk berdasarkan ekosistem melalui tujuh kategori pengguna platform yang merangkumi majlis perbandaran, pusat beli-belah, pemaju hartanah, penganjur acara, vendor, pemilik perniagaan, dan pengguna.
Kata beliau, sasaran utamanya adalah untuk menjadi lapisan infrastruktur teras bagi pengurusan ruang jangka pendek dan acara di seluruh Malaysia. Ia selari dengan peningkatan permintaan pasaran terhadap acara luar, festival, dan sewaan jangka pendek di Malaysia serta rantau ASEAN.
“Bagaimanapun, sektor ini dilihat masih jauh ketinggalan daripada segi infrastruktur digital berbanding sektor lain seperti perkhidmatan tempahan kenderaan, penghantaran makanan, dan e-dagang,” katanya.
Caritapak.my ialah syarikat teknologi acara yang membangunkan sistem operasi bagi industri acara dan sewaan jangka pendek. Ia menghubungkan penganjur acara dan vendor dalam aspek pematuhan, komunikasi, dan kewangan untuk memacu kecekapan industri. – UTUSAN








