PETALING JAYA: Tampil mempertahankan diri, aktres, Salina Saibi menegaskan bahawa dia bukan individu yang terlibat dengan isu penyalahgunaan dadah yang hangat diperkatakan membabitkan pelakon drama bersiri Gerak Khas 2.0, sejak semalam.
Menurut Salina, 44, dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan kes tersebut disifatkan keterlaluan kerana dia sentiasa berusaha menjaga nama baik, disiplin dan reputasi sebagai anak seni sepanjang terlibat dalam naskhah kepolisian tersebut.
“Saya memang terkesan. Nama dipetik dan dituduh terlibat dengan dadah. Dadah ialah musuh negara dan perkara yang paling saya benci.
“Penat menjaga nama baik, tiba-tiba dipalitkan dengan perkara seperti ini pula. Saya terkejut, geram dan sedih. Rasa macam mahu menjerit pun ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, Salina turut meluahkan rasa simpati terhadap penerbit, Datuk Yusof Haslam yang disifatkannya sentiasa menjaga kebajikan barisan pelakon seperti ahli keluarga sendiri.
“Saya juga kasihan dan sayu melihat Datuk Yusof Haslam. Beliau menjaga kami seperti adik-adik dan anak-anak sendiri. Seluruh pasukan Gerak Khas kecewa. Penggambaran terus dihentikan, sedangkan baru sahaja melancarkan Gerak Khas 2.0,” jelasnya.
Pelakon yang sudah 20 tahun membawakan watak ASP Salina itu menegaskan bahawa dia sentiasa mengingatkan seluruh kru dan pelakon supaya menjaga tingkah laku kerana setiap tindakan mereka membawa nama baik industri.
“Untuk pengetahuan, pelakon yang dimaksudkan bukan Salina Saibi. Saya sentiasa menjaga disiplin dan reputasi kerana sedar kami membawa nama yang besar. Mohon dijauhkan daripada perkara seperti ini dan doakan yang baik-baik.
“Sebagai seorang figura awam, kami memikul amanah dan tanggungjawab yang besar. Saya sentiasa mengingatkan semua kru dan pelakon supaya menjaga tingkah laku kerana setiap tindakan kami perlu selari dengan integriti serta nama baik yang kami bawa.
“Sudah 20 tahun saya membawa watak ASP Salina dalam Gerak Khas. Saya juga seorang ibu, isteri dan usahawan. Saya tidak mahu segala usaha yang telah saya bina selama ini, termasuk reputasi, kepercayaan dan hubungan baik dengan Datuk Yusof musnah hanya kerana salah faham,” katanya.
Bagaimanapun, Salina berharap penjelasan tersebut dapat menghentikan segala spekulasi yang berlegar di media sosial, selain meminta orang ramai menghormati proses siasatan yang sedang berjalan.
Sejak semalam, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita seorang pelakon wanita yang membintangi drama Gerak Khas 2.0 ditahan polis selepas disyaki positif dadah di sebuah pusat hiburan sekitar ibu negara.










