JELEBU: Barisan Nasional (BN) tidak menggunakan pendekatan menjanjikan perkara tidak realistik atau membentangkan manifesto yang hanya bertujuan meraih undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, BN mengamalkan pendekatan berjanji untuk ditepati dengan memastikan setiap perkara yang ditawarkan kepada rakyat dapat dilaksanakan.
“Kami tidak menggunakan kaedah janji kosong dengan membentangkan manifesto yang tidak realistik atau manifesto yang hanya dibuat untuk meraih undi.
“Kami mengamalkan pendekatan BN iaitu berjanji untuk ditepati, bukan sekadar menyedapkan telinga mereka yang mendengar. Apa yang dijanjikan itu akan kita tunaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jalaluddin yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, BN turut menolak pendekatan kempen yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat termasuk menggunakan isu perkauman, menanam kebencian atau memecah-belahkan rakyat.
“Kami juga tidak menggunakan pendekatan menghina, memecah-belahkan rakyat, menggunakan isu perkauman atau menanamkan rasa benci dalam kalangan rakyat.
“Apatah lagi merasuah pengundi, itu bukan pendekatan yang kita lakukan,” katanya.
Menurut beliau, tindakan mana-mana pihak yang menggunakan wang ringgit bagi memancing undi adalah pendekatan yang menghina rakyat.
Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata, persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan berjalan dengan baik tanpa sebarang isu setakat ini.
Katanya, gerak kerja antara kedua-dua parti telah diselaraskan bagi memastikan kerjasama itu dapat diterjemahkan ketika hari pengundian.
“Di Pertang, pengikut, penyokong dan ahli parti daripada PN khususnya Pas sudah bersama dengan jentera saya untuk menjalankan semua aktiviti kempen.
“Di Klawang umpamanya, semua jentera berkaitan ahli parti, pendukung dan penyokong UMNO serta BN sudah bersatu untuk menyokong calon daripada PN,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan sama turut dilaksanakan di semua DUN yang terlibat dengan kedua-dua pihak bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan persefahaman berkenaan mencapai matlamatnya.
“Perkara ini juga telah kita lakukan di semua DUN. Jadi kita bergerak sebagai satu pasukan dan satu pasukan kerja untuk memastikan persefahaman ini dapat diterjemahkan pada hari pengundian.
“Setakat ini tiada isu, Alhamdulillah. Persefahaman itu semakin bertambah baik dan hasilnya akan kita lihat nanti,” katanya. – UTUSAN










