SEREMBAN: Barisan Nasional memasuki gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan tujuan untuk menamatkan krisis dan polemik pentadbiran di negeri ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai polemik yang berlaku sejak kebelakangan ini telah mencetuskan keresahan sehingga akhirnya memerlukan satu keputusan besar untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.
“Kita bukan datang untuk menambahkan krisis tetapi untuk menamatkan krisis. Kita bukan datang untuk mengeruhkan keadaan, sebaliknya memulihkan keyakinan rakyat serta mengembalikan tertib pentadbiran negeri,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRN Negeri Sembilan Ke-16 Paroi, di sini malam ini.
Ahmad Zahid berkata, BN memilih untuk mengembalikan mandat kepada rakyat selepas kepimpinan kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) didakwa gagal menguruskan negeri dengan baik.
Katanya, rakyat merupakan hakim terbaik untuk menentukan masa depan negeri itu.
“Saya percaya rakyat Negeri Sembilan ialah hakim yang paling besar. Rakyatlah penentunya.
“Sama ada negeri ini mahu terus dibelenggu ketidaktentuan atau kembali ke landasan pentadbiran yang lebih stabil, lebih tertib dan lebih berpengalaman, semuanya terletak di tangan rakyat.
“Benar, kami yang memulakan langkah ini apabila ADUN-ADUN BN menarik sokongan. Namun, langkah itu dibuat dengan penuh tanggungjawab kerana Negeri Sembilan tidak boleh terus dibiarkan bergolak akibat kelemahan kepimpinan yang gagal menjaga tertib politik dan institusi negeri,” katanya.-UTUSAN.










