MUKADIMAH
Berbekalkan pengalaman 13 tahun sebagai peguam, calon parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, AINIE HAZIQAH SHAFII tampil menawarkan pendekatan berbeza dengan memanfaatkan kepakaran profesionalnya itu untuk membantu rakyat setempat.
Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, HANAFI ZULKEFLI, beliau memberitahu mahu membawa perubahan di kawasan berkenaan melalui pendekatan berteraskan khidmat masyarakat, ekonomi dan kebajikan rakyat.
UTUSAN: Ramai beranggapan apabila menjadi wakil rakyat, kerjaya anda sebagai peguam terpaksa diketepikan, adakah begitu?
AINIE HAZIQAH SHAFII: Saya tidak melihat politik sebagai pengakhiran kepada kerjaya guaman saya. Saya masih seorang peguam dan akan terus menjalankan tugas profesional seperti biasa.
Jika diberi mandat sebagai wakil rakyat di Simpang Jeram, saya percaya pengalaman sebagai peguam membolehkan saya berkhidmat dengan lebih baik kerana saya memahami isu rakyat daripada sudut perundangan.
Antara tawaran yang mendapat perhatian ialah khidmat nasihat guaman percuma. Mengapa ia menjadi keutamaan?
Saya sudah pun melaksanakannya sebelum menjadi calon. Penduduk Simpang Jeram boleh mendapatkan khidmat nasihat guaman secara percuma kerana ramai berdepan isu harta pusaka, tanah, keluarga dan pelbagai perkara yang memerlukan panduan undang-undang.
Saya mahu rakyat mendapat akses kepada keadilan tanpa perlu memikirkan kos mendapatkan nasihat awal.
Apakah yang ingin anda lakukan sekiranya dipilih menjadi ADUN Simpang Jeram?
Saya mempunyai lima tekad yang dibina berdasarkan maklum balas penduduk. Fokus pertama adalah memperkukuh ekonomi termasuk menangani kos sara hidup dan pendidikan. Kedua, menyelesaikan isu infrastruktur seperti banjir. Ketiga, memperkasa wanita dan anak muda.
Keempat, menyediakan khidmat nasihat guaman percuma dan kelima menjadi suara rakyat supaya setiap isu yang dibangkitkan penduduk diperjuangkan secara konsisten.
Ada kritikan bahawa tawaran seperti khidmat guaman percuma sukar diteruskan dalam jangka panjang.
Saya faham persepsi itu, tetapi ini bukan janji kosong. Saya sudah laksanakan sebelum ini dan ia sebahagian daripada kerja saya sebagai peguam. Khidmat nasihat awal boleh diuruskan secara berstruktur melalui pusat khidmat dan pasukan guaman saya. Ia bukan beban.
Jika tidak menang, adakah semua tekad yang diumumkan ini akan terhenti begitu sahaja?
Tidak. Kerja saya tidak bergantung kepada jawatan. Sebagai peguam dan aktivis masyarakat, saya sudah lama membantu warga Simpang Jeram dan akan teruskan.
Namun, menjadi ADUN akan memberikan ruang yang lebih besar dan struktur yang lebih kuat untuk memperluaskan bantuan tersebut kepada lebih ramai orang.
Sebagai satu-satunya calon wanita di Simpang Jeram, adaka itu memberikan tekanan buat anda?
Tekanan itu ada, tetapi saya melihatnya sebagai tanggungjawab. Menjadi calon wanita bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan kerana kita membawa perspektif berbeza terutama dalam isu keluarga, wanita dan anak muda. Saya tidak mahu sekadar menjadi simbol tetapi benar-benar membawa perubahan yang boleh dirasai rakyat khususnya dalam membawa suara wanita.










