Syed Saddiq ke penjara atau bebas?

Syed Saddiq ke penjara atau bebas?

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini akan menentukan nasib Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada beliau akan bebas atau ke penjara atas pertuduhan pecah amanah.

Sekiranya rayuan akhir oleh pendakwaan dibenarkan, Syed Saddiq akan terus dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman penjara tujuh tahun.

Hukuman penjara itu boleh ditambah lagi empat tahun sekiranya Syed Saddiq gagal membayar denda RM10 juta yang turut dikenakan terhadapnya.

Andai kata keputusan Mah­kamah Persekutuan berpihak kepada bekas Presiden Muda itu, ia akan menjadi hadiah perkahwinan terawal buat Syed Saddiq dan tunangnya yang juga pe­nyanyi, Bella Astillah.

Peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq ketika dihubungi media menyuarakan keyakinan­nya bahawa keputusan akan berpihak pada anak guamnya.

Ujarnya, keyakinan itu adalah berasaskan fakta dan undang-undang.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II, Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan akhir itu ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia menunjukkan sikap yang optimis.

“Alhamdulillah kami pihak pendakwaan telah menjalankan tugas kami sehabis baik dan kami serahkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan,” katanya ringkas.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Syed Saddiq bersalah terhadap empat pertuduhan iaitu bersubahat de­ngan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana pertubuhan itu berjumlah RM1 juta.

Syed Saddiq juga didapati bersalah atas tuduhan menya­lahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Isla­mic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.

Beliau juga didapati bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya yang merupakan hasil aktiviti haram.

Menerusi penghakiman Ha­kim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid setebal 22 muka surat, mahkamah menolak pembelaan Syed Saddiq sambil menyifatkan keterangannya ‘tidak masuk akal’.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun denda RM 10 juta itu bagaima­napun membenarkan permohonan penangguhan hukuman.

Pada 25 Jun 2025, anak jati Johor Bahru itu bernasib baik apabila panel tiga hakim Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskannya daripada sabitan salah dan kesemua hukuman itu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara mendapati kesemua pertuduhan dihadapi Syed Saddiq tidak berasas dan pendakwaan gagal membuktikan kesalahan bersubahat walaupun pada pe­ringkat kes prima facie.

Tambah panel itu, tindakan mengarahkan seseorang untuk mengeluarkan wang, tidak boleh dikatakan melupuskan dana.

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan, sehari selepas keputusan lepas bebas itu.

Pendakwa raya mengemu­kakan 28 alasan mengapa Mahkamah Persekutuan sepatutnya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman berkenaan.

Antara alasan yang diberikan, Pendakwa Raya menyatakan Hakim Mahkamah Rayuan telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila antaranya membuat tuduhan liar kepada pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia dengan kononnya (pendakwaan dan SPRM) telah memberikan tekanan kepada Rafiq Hakim yang juga saksi pendakwaan ke-13 untuk memberikan ketera­ngan bagi menyenangkan hati SPRM dan menyesuaikan kete­rangan bagi kes pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN