‘Saya hilang pendapatan selagi jambatan tidak siap’

‘Saya hilang pendapatan selagi jambatan tidak siap’

JAMBATAN sementara yang dibina secara gotong-royong oleh penduduk kampung setelah projek pembinaan jambatan utama baharu terbengkalai di Sik Dalam, Sik, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Peniaga yang terjejas akibat pembinaan jambatan baharu Sik Dalam yang terbengkalai akan terus kehilangan punca pendapatan selagi infrastruktur tersebut tidak disiapkan pihak berwajib.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengusaha kedai makan, Fatimah Syam Ali, 51, berkata, sejak kerja pembinaan jambatan itu bermula, dia sudah lama tidak mempunyai pendapatan sendiri kerana mengutamakan upah pekerja dan modal pusingan.

Katanya, keadaan itu turut menyebabkan dia kekurangan dana untuk menampung kos per­ubatan anak bongsunya berusia 14 tahun yang menghidap penyakit tulang rapuh.

“Kadangkala saya terpaksa tutup kedai selama sebulan atau pun pendekkan waktu berniaga. Saya cuma mampu bayar upah pekerja serta simpan untuk pu­sing modal sahaja kerana pelanggan makin merosot,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kehidupan lebih 1,000 penduduk di kawasan Sik Dalam terjejas selepas projek pembinaan jambatan baharu hampir 100 meter di kawasan itu yang bermula Februari 2023 masih belum siap sehingga kini.

Keadaan itu menyebabkan penduduk dari 10 buah kampung terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh iaitu kira-kira lima kilometer selain jalannya sempit sehingga pernah menyebabkan kemala­ngan maut.

Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Banggol Sik Dalam, Mansor Ismail berkata, jadual siap projek menggantikan jambatan baharu itu kini ditangguhkan sehingga 15 Mei 2027.

Sementara itu, Fatimah berkata, ketika perobohan jambatan lama belum dilakukan, dia mampu meraih pendapatan memuaskan kerana jalan itu adalah laluan utama orang ramai berulang dari pekan Sik ke Gulau dan sebaliknya.

“Dulu jualan kedai saya boleh cecah antara RM600 ke RM800 sehari, sekarang kadangkala tak sampai RM200 sehari pun. Tiada orang lalu akibat jalan ini ditutup,” katanya.

Oleh itu dia amat berharap agar pihak berwajib dapat me­nyambung semula pembinaan jambatan baharu itu dengan cepat kerana perniagaannya be­risiko ditutup sekiranya kelewatan terus berlaku.

Menceritakan keadaan anak­nya, Fatimah berkata, mata remaja itu perlu dirawat kerana kornea mata yang lekang, saraf mata kanannya sudah rosak dan hanya bergantung mata kiri yang kabur.

“Setakat ini tak silap saya sudah tujuh bahagian tulangnya patah, kami cuma berharap perniagaan kami boleh kembali seperti biasa, selagi projek jambatan tak siap, kami akan terus terjejas dan tak mustahil terpaksa tutup kedai nanti,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini