JOHOR BAHRU: Bantuan kewangan berjumlah RM205 juta disalurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi Program Sokongan Industri dan Perniagaaan Rakyat (Sinar) bertujuan menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menghadapi cabaran susulan krisis bekalan global akibat konflik di Asia Barat.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, program baharu melalui SME Corp. Malaysia itu menawarkan lima inisiatif meliputi bantuan kewangan dan bukan kewangan supaya PMKS dapat mengembangkan perniagaan mereka.
Menurutnya, kerajaan memahami ramai usahawan berdepan peningkatan kos operasi serta ketidaktentuan pasaran susulan krisis bekalan global berpunca perkembangan geopolitik dan geoekonomi dunia.
“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan tidak boleh membiarkan PMKS berdepan cabaran ini sendirian.
“Melalui Sinar, kita mahu pastikan usahawan mempunyai akses kepada pembiayaan dan sokongan diperlukan untuk terus bertahan, berkembang dan mencipta peluang pekerjaan,” katanya selepas Majlis Penutup Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia dan Mini Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Negeri Johor di sini semalam.
Tambah Chee Keong, permohanan Sinar telah dibuka semalam yang menyediakan akses kepada pembiayaan tambahan dan program pembangunan kapasiti bagi membantu PMKS mengekalkan aliran tunai, meneruskan operasi dan memperkukuh daya tahan perniagaan dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.
“Tiga program pembiayaan dengan dana sehingga RM5 juta ditawarkan pada kadar keuntungan atau faedah antara tiga hingga lima peratus setahun. Inisiatif ini dijayakan melalui kerjasama strategik bersama Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), microLEAP PLT, dan Funding Societies.
“Selain itu, Program Penskalaan Perniagaan Inklusif turut diperkenal sebagai program pembangunan kapasiti yang menyediakan geran sehingga 90 peratus.
“Geran ini bertujuan membantu mengintegrasikan komuniti inklusif dalam rantaian bekalan serta meningkatkan kemahiran perusahaan mikro bagi membolehkan transformasi perniagaan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.-UTUSAN.










