PRN Johor dijangka telan kos RM90j

PRN Johor dijangka telan kos RM90j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dijangka menelan perbelanjaan kira-kira RM90 juta melibatkan lebih 2.7 juta pemilih berdaftar di negeri itu.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, anggaran kos tersebut dibuat berdasarkan jumlah pemilih berdaftar semasa bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.

Menurut beliau, berdasarkan data pemilih berdaftar setakat 20 April lalu, Johor merekodkan seramai 2,725,559 pengundi berdaftar.

“Jumlah itu menunjukkan peningkatan seramai 125,762 orang atau 4.8 peratus berbanding 2,599,797 pengundi berdaftar ketika PRN Johor pa­da 2022.

“PRN Johor Ke-16 dianggarkan melibatkan kos kira-kira RM90 juta dengan jumlah pemilih berdaftar seramai 2,725,559 orang membabitkan 56 DUN,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Johor dibu­barkan berkuat kuasa sema­lam bagi memberi laluan ke­pada pelaksanaan PRN Ke-16.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika mengumumkan pembubaran itu kelmarin, berkata, perkara itu telah di­per­kenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim selepas beliau menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Kata beliau, ia juga adalah selaras dengan peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Mengulas lanjut, Khairul Shahril berkata, tarikh Mesyuarat Khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Johor akan dimaklumkan sebaik sahaja menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran DUN Johor.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam memaklumkan pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor mengenai pembubaran DUN Johor.

“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor berhubung pembubaran DUN Johor pada hari ini, (semalam),” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN