KLANG: Sebanyak empat blok dalam kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang sebelum ini terbiar kosong digunakan semula termasuk bagi menempatkan lebih 3,000 pekerja.
Selain pembangunan penempatan pekerja berpusat (CLQ), ia turut menerima pelaburan daripada Suntek Materials Sdn. Bhd. serta Golden Horse yang membuka gudang dan pejabat di sana sebagai hub pengedaran di rantau Asia Tenggara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu memperkukuh kedudukan PKFZ sebagai hab logistik dan perdagangan strategik yang melibatkan nilai kumulatif pelaburan baharu sebanyak RM566 juta.
“Beberapa bangunan di bawah PKFZ memang sudah 20 tahun tidak digunakan, akhirnya di bawah pengurusan baharu mereka dapat meyakinkan ada pelabur untuk menyewa.
“Pada awal tahun ini, pengurusan PKFZ menandatangani perjanjian sewa dengan syarikat Golden Horse iaitu sebuah syarikat pembuatan tayar untuk mereka menyewa bangunan sebagai pejabat serta gudang dan sudah belanja RM4 juta untuk selenggara dan ubah suai,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pra Pelancaran PKFZ: Smart Intelligence Industrial Park di sini, hari ini.
Beliau menambah, perjanjian antara PKFZ dengan syarikat tersebut adalah bagi tempoh 30 tahun yang akan memberi pendapatan secara langsung kepada anak syarikat Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) itu.
“Kerajaan juga membelanjakan hampir RM30 juta untuk menyelenggara jalan raya dalam kawasan PKFZ untuk menarik kemasukan pelabur,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anthony Loke memberitahu langkah strategik berkenaan membolehkan PKFZ menyelesaikan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM3.8 bilion sebelum ini bagi pembangunan zon bebas tersebut.
“PKFZ masih berhutang dengan Kerajaan Persekutuan, jadi setiap tahun perlu membayar balik RM200 juta kepada Kementerian Kewangan melalui LPK.
“Jadi, sekarang ini kita mahu supaya mempunyai pulangan dan pendapatan kepada PKFZ. Tahun lalu kita sudah pun mendapat pulangan lebih RM100 juta yang dalam masa sama meringankan beban LPK untuk membayar semula kepada Kementerian Kewangan,” jelasnya. – UTUSAN










