KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyerahkan sumbangan kematian di bawah Pelan Takaful Berkelompok Staf berjumlah RM40,000 kepada Nik Noratiza Nik Abd. Aziz, iaitu balu legenda bola sepak Terengganu, Allahyarham Zulharisam Awang.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, skim perlindungan takaful berkelompok yang diperkenal universiti itu adalah antara manfaat penting yang disediakan bagi menjaga kebajikan staf serta keluarga mereka sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal.
Katanya, ia juga komitmen berterusan UniSZA dalam memastikan kebajikan kakitangan dan waris mereka sentiasa terpelihara khususnya ketika berdepan saat-saat sukar selepas kehilangan insan tersayang.
“Pihak pengurusan sentiasa meletakkan kebajikan staf dan keluarga mereka sebagai keutamaan tertinggi.
“Sumbangan ini diharap dapat membantu kelangsungan hidup waris serta menjadi bukti kebersamaan UniSZA dalam menghargai jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh staf sepanjang tempoh perkhidmatan mereka,” katanya selepas penyampaian sumbangan itu di kediaman waris di Kampung Baru Gong Badak, Simpang Tok Jembal, di sini.
Sementara itu, Nik Noratiza menzahirkan penghargaan dan rasa syukur atas keprihatinan UniSZA yang sentiasa peka serta proaktif dalam membantu keluarga kakitangan ditimpa musibah.
Beliau berkata, sumbangan berkenaan bukan sahaja membantu daripada sudut kewangan malah memberikan suntikan semangat kepada keluarga untuk meneruskan kehidupan selepas pemergian Allahyarham.
Allahyarham Zulharisam meninggal dunia Februari lalu pada usia 51 tahun akibat penyakit dalaman.
Bekas ketua pasukan bola sepak Terengganu itu pernah berkhidmat sebagai Pembantu Khidmat Am (Pembantu Operasi) Pusat Sukan dan Rekreasi UniSZA.-UTUSAN.










