Lelaki Pakistan, isteri dicekup edar rokok seludup - Utusan Malaysia

Lelaki Pakistan, isteri dicekup edar rokok seludup

ROKOK seludup yang dirampas PGA selepas melakukan serbuan di Kampung Binjal Manis, Bachok, Kelantan kelmarin.-IHSAN PGA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Seorang lelaki warganegara Pakistan dan isteri dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas disyaki menyimpan serta mengedar rokok seludup dalam serbuan di Kampung Binjai Manis, Jalan Beris Kubor Besar di sini kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 5.15 petang itu, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 31 dan 39 tahun itu berada dalam keadaan mencurigakan di rumah berkenaan.

Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussai berkata, anggota bertugas kemudian melakukan pemeriksaan di dalam sebuah bilik dan menemukan sejumlah rokok yang dipercayai tidak bercukai.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 19,000 batang rokok putih dan 600 batang rokok kretek yang dianggarkan bernilai RM36,748.

“Hasil siasatan awal mendapati wanita tempatan itu merupakan isteri kedua kepada lelaki warga Pakistan berkenaan.

“Mereka dipercayai berperanan menyewa rumah serta membantu menyimpan dan menjual rokok terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, siasatan mendapati suspek bekerja dengan seorang lelaki senegaranya yang dipercayai menjual rokok di sebuah kedai runcit di Jalan Bukit Marak, selain membekalkan rokok kepada beberapa premis runcit milik warga Pakistan di kawasan berhampiran.

Katanya, suspek turut berperanan menghantar dan menjaga bekalan rokok dengan menerima upah RM1,500 sebulan.

“Bekalan rokok tidak bercukai tersebut dipercayai diperoleh daripada seorang lelaki Cina yang kebiasaannya menghantar rokok pada waktu malam menggunakan sebuah kereta Honda City berwarna putih,” ujarnya.

Ahmad Radzi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN