Kemajuan bukan hanya pembangunan fizikal

Kemajuan bukan hanya pembangunan fizikal

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah melawat Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah di Bandar Meru Raya di Ipoh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya diukur melalui kemegahan pembangunan fizikal atau pertumbuhan ekonomi semata-mata. Sebaliknya, ia pada keupayaan memelihara martabat insan dan menyediakan peluang ke­dua kepada mereka yang di­timpa musibah.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kemajuan sebenar terletak pada kesungguhan melaksanakan program sosial bagi membela golongan lemah dan membantu mereka yang berdepan penya­kit, kecederaan atau kehilangan upaya untuk kembali membina masa hadapan yang bermaruah.

Titah baginda, membantu meringankan beban mereka yang diuji dengan pelbagai dugaan hidup bukan sahaja tuntutan fardu kifayah, malah menjadi tanggungjawab keinsanan setiap anggota ma­syarakat.

“Dalam kehidupan seharian setiap insan berdepan pelbagai risiko dan detik sukar yang mampu mengubah perjalanan hidup.

“Ada yang mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau semasa bertugas sehingga mengakibatkan kecacatan atau kehila­ngan anggota, ada yang tiba-tiba mendapat serangan jantung dan strok atau mengalami kecede­raan saraf serta tulang belakang yang menjejaskan pergerakan dan keupayaan mengurus diri.

“Setiap kemalangan, sera­ngan penyakit atau kecederaan bukan sahaja mengubah kehidupan individu sekelip mata, malah memberi kesan kepada seluruh ahli keluarga yang juga perlu berdepan dugaan baharu untuk meneruskan kehidupan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang kini dikenali sebagai Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah di Bandar Meru Raya, di sini semalam.

Sultan Nazrin bertitah, pusat rehabilitasi tersebut bukan sekadar kompleks yang dilengkapi peralatan moden dan teknologi canggih, tetapi dihebatkan dengan tenaga pakar dalam bidang-bidang perubatan dan kesihatan.

Katanya, pusat itu menghimpunkan kepakaran dalam pelbagai disiplin termasuk fisioterapi, terapi pekerjaan dan vokasional, bimbingan sosial dan sokongan psikologi yang diadun dalam satu ekosistem yang bersepadu.

“Pusat ini bukan sekadar kemudahan kesihatan, tetapi melambangkan penghijrahan pemikiran bagi merealisasikan hasrat negara dalam memperkasakan perkhidmatan rehabilitasi berteknologi tinggi yang berteraskan nilai kemanusiaan dan keinsanan.

“Pusat ini harus dilihat sebagai satu simbol bahawa negara menghargai setiap nyawa, setiap pekerja dan setiap keluarga selain simbol bahawa musibah bukan noktah ter­akhir kepada kehidupan,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN