Festival Adu Kolek angkat semula warisan pesta air Terengganu

Festival Adu Kolek angkat semula warisan pesta air Terengganu

AKSI para peserta pertandingan perahu panjang sempena Festival Adu Kolek 2026 di Kampung Jeram Hulu, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Festival Adu Kolek 2026 di Kampung Jeram Hulu di sini menjadi platform menghidupkan kembali warisan pesta air rakyat apabila menghimpunkan 625 peserta dari pelbagai daerah dan kampung di negeri ini.

Program anjuran Kerajaan Negeri Terengganu melalui Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan itu berlangsung dua hari dan berakhir semalam.

Pengarah Pelancongan Nege­ri Terengganu, Datuk Tengku Mohd. Ariffin Tengku A. Rahman berkata, penganjuran Festival Adu Kolek 2026 bukan sahaja bertujuan menghidupkan semula warisan pesta air rakyat Terengganu malah menjadi medium memperkukuh identiti budaya dan produk pelancongan negeri.

Katanya, festival berkenaan turut berpotensi menarik kehadiran pelancong domestik dan luar negeri sekali gus me­rancakkan ekonomi komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti berasaskan budaya dan rekreasi air.

“Program seperti ini bukan sekadar hiburan rakyat tetapi mempunyai nilai sejarah dan warisan yang besar kerana ia mencerminkan kehidupan ma­syarakat pesisir sungai di Terengganu sejak dahulu.

“Kita mahu generasi muda mengenali dan menghargai budaya tradisional ini supaya ia tidak hilang ditelan zaman,” katanya di sini.

Tengku Mohd. Ariffin berkata, penganjuran festival tersebut dilihat sebagai usaha memelihara, mengangkat dan memperkenal semula tradisi pesta air yang pernah menjadi antara acara kebanggaan rakyat Terengganu suatu ketika dahulu.

“Festival ini adalah kesinambungan tradisi pesta air yang mula dianjurkan sekitar awal tahun 1950-an di kawasan Pengkalan Syahbandar, Kuala Terengganu sebelum berkembang pesat sehingga era 1980-an.

“Ketika itu, pelbagai acara berasaskan air dianjurkan sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu sekali gus mencerminkan identiti budaya dan kehidupan masyarakat pesisir sungai di negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, menyedari nilai sejarah dan warisan yang terkandung dalam tradisi tersebut, Festival Adu Kolek 2026 dianjurkan dalam pendekatan lebih segar, inklusif dan berimpak tinggi bagi menarik minat generasi muda mengenali budaya masyarakat terdahulu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×