​Felda, lima sekolah jadi sasaran awal sekat ancaman dadah alaf baharu

​Felda, lima sekolah jadi sasaran awal sekat ancaman dadah alaf baharu

AHMAD Shukri Ismail (belakang, tengah) ketika hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Sinergi Kepulihan AADK Daerah Kuantan di Annexe Resort, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kawasan tanah rancangan Felda dan lima buah sekolah terpilih di daerah ini menjadi sasaran awal gerakan agresif Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Pahang dalam usaha membendung penularan ancaman dadah alaf baharu di peringkat akar umbi.

Difahamkan, ​langkah intervensi awal itu diambil susulan taktik licik sindiket yang kini dikesan menghasilkan bahan terlarang tersebut dalam pelbagai bentuk mengelirukan sehingga mampu memperdaya golongan pelajar.

​Pengerusi JKPD Pahang, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, pendidikan awal penting bagi meningkatkan kefahaman pelajar tentang bahaya dadah yang kini datang dalam pelbagai bentuk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“JKPD akan bekerjasama rapat dengan pihak pengurusan Felda dan Jabatan Pendidikan Negeri untuk melaksanakan program kesedaran yang lebih interaktif dan menyeluruh, sekali gus membina ‘benteng’ pertahanan diri yang kukuh dalam kalangan generasi muda sebelum mereka terjebak lebih jauh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Dr. Ahmad Shukri, usaha membantu bekas penagih dadah kembali menjalani kehidupan normal tidak boleh dilaksanakan secara bermusim atau bersifat one-off, sebaliknya memerlukan tindakan susulan yang berterusan melibatkan pelbagai agensi.

Katanya, tiga fokus utama perlu dilaksanakan bagi memastikan kejayaan proses kepulihan iaitu menghapuskan stigma masyarakat terhadap klien, meningkatkan kemahiran diri dan memperkukuh peranan institusi keluarga sebagai pusat rawatan pertama.

Katanya, JKPD juga akan memastikan isu berkaitan kebajikan dan kepulihan klien mendapat perhatian sewajarnya.

“Kita mahu menghapuskan stigma masyarakat kerana mereka yang sedang menjalani proses kepulihan memerlukan sokongan untuk membina semula kehidupan,” katanya.

Pada 21 Mei lalu, akhbar ini melaporkan bahawa, kewujudan rokok elektronik atau vape berbentuk jam tangan dan evolusi dadah sintetik kini menjadi ‘ancaman senyap’ terhadap golongan remaja termasuk pelajar sekolah.

Dengan bentuk yang mudah disamarkan dan akses yang semakin longgar, kedua-duanya membuka pintu kepada ketagihan nikotin serta bahan psikoaktif yang merosakkan otak, menjejaskan kesihatan mental dan meningkatkan risiko remaja terjerumus lebih jauh ke dalam dunia dadah yang tiada penghujung.

Situasi itu semakin membimbangkan apabila produk vape direka menyerupai jam tangan, pen dan pemacu USB sekali gus memudahkan pelajar menyeludupnya ke sekolah tanpa disedari guru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini