DUN Lenggeng jadi tumpuan empat parti

DUN Lenggeng jadi tumpuan empat parti

MOHD. Asna Amin (tengah) menyantuni seorang pesakit di Dewan Undangan Negeri Lenggeng.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng dalam kawasan Parlimen Se­remban dijangka menjadi tumpuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

Setakat ini, sekurang-ku­rangnya empat parti politik te­lah menyatakan kesediaan bersaing di kerusi berkenaan yang kini disandang oleh Barisan Nasional (BN) melalui Datuk Mohd. Asna Amin.

Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban itu memenangi kerusi tersebut pada PRN 2023 dengan majoriti tipis 685 undi menewaskan dua calon lain.

Secara tradisi, kerusi tersebut dimenangi BN sebelum Pakatan Harapan (PH) menerusi Parti Amanah Negara (PRN) memenanginya pada 2018.

Pada PRN kali ini, Mohd. Asna selaku penyandang dijangka menjadi pilihan untuk mempertahankan kerusi itu sekiranya beliau sekali lagi dipilih sebagai calon.

Katanya, walaupun menang dengan majoriti tipis pada PRN lalu, beliau percaya jumlah itu mampu ditambah baik berdasarkan maklum balas yang ditunjukkan oleh pengundi di DUN berkenaan.

“Sejak selepas PRN lalu, BN telah memberikan perkhidmatan yang berkesan secara berte­rusan untuk DUN Lenggeng dan rekod ini akan diteruskan sejajar dengan prinsip BN untuk berkhid­mat kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, tiga parti lain yang telah menyatakan kese­diaan bersaing kerusi tersebut iaitu PH-Amanah, Pas dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Sehingga kini, Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Negeri Sembilan, Zarinna Abu Zarin yang juga Ketua Wanita PH negeri ini dikatakan telah mendapat kepercayaan untuk bersaing kerusi berkenaan.

Menurut Zarinna, Amanah berazam mengambil semula kerusi DUN Lenggeng dalam PRN kali ini yang mampu memberi peluang kepada PH membentuk semula kerajaan negeri kelak.

“Tambahan pula, pada PRN lalu, Amanah telah berkompromi dengan memberi laluan kepada BN untuk bersaing kerusi tersebut walaupun ia milik kami selepas PRU 2018,” katanya.

Terdapat seramai 28,880 pe­ngundi di DUN Lenggeng berdasarkan senarai terkini dike­luarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 4 Jun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN