JOHOR BAHRU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika mengumumkan pembubaran itu semalam berkata, perkara itu telah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim selepas beliau menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Kata beliau, ia juga adalah selaras dengan peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
“Pembubaran ini dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi melalui Pilihan Raya Negeri Johor, tertakluk kepada penetapan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
“Keputusan ini dibuat dengan niat untuk memastikan rakyat Bangsa Johor terus memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh, insya-Allah,” katanya dalam sidang akhbar khas di kediaman rasmi beliau di sini semalam.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dalam pada itu meminta kepemimpinan parti politik, ahli-ahli, penyokong serta masyarakat pelbagai lapisan menghadapi proses demokrasi ini dengan penuh berhemah.
“Saya menyeru kepada semua parti politik, pemimpin dan penyokong agar menghadapi proses demokrasi ini dengan penuh adab, tertib, dan berhemah.
“Sama-samalah kita menjaga keharmonian dan kemuafakatan Bangsa Johor. Semoga Allah SWT memelihara negeri Johor, melindungi rakyatnya serta terus mengurniakan kestabilan, kemakmuran, dan keberkatan kepada negeri ini,” katanya.
Pada PRN Johor Ke-15 yang diadakan Mac 2022, BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi manakala PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing satu kerusi. Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula memperoleh satu kerusi.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya masih menunggu makluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berhubung pembubaran DUN negeri itu.
Beliau berkata, SPR akan mengambil tindakan selanjutnya selepas menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran tersebut.
“Setakat ini, SPR masih menunggu makluman rasmi daripada Speaker DUN berhubung pembubaran DUN Johor,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed ketika dihubungi berkata, pengumuman Onn Hafiz itu merupakan satu perkara yang mengejutkan kerana berlaku tanpa sebarang petanda.
“Agak mengejutkan walaupun sudah ada maklumat berkenaan (pembubaran DUN) sejak pagi tadi (semalam). Apa pun saya sudah mengarahkan agar jentera Pas digerakkan semaksimum mungkin bagi berdepan PRN Johor.
“Saya akan muktamadkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi Pas di negeri ini bersama-sama parti komponen lain dalam PN,” katanya.
Pada 16 Mei lalu, Onn Hafiz membuat pengumuman bahawa BN akan bertanding secara solo dengan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Susulan pengumuman itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Konvensyen PH 2026 keesokannya memberitahu parti itu juga bersedia berdepan BN bukan hanya di PRN Johor, tetapi juga di Melaka, Negeri Sembilan dan Pilihan Raya Umum (PRU).
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, PH tidak gentar dengan ugutan mana-mana pihak sebaliknya bersedia memulangkan hak dan mandat kepada rakyat Malaysia untuk memilih kerajaan mereka.-UTUSAN.










