Dua wanita warga asing ‘kantoi’ sembunyi di tempat duduk belakang kereta - Utusan Malaysia

Dua wanita warga asing ‘kantoi’ sembunyi di tempat duduk belakang kereta

DUA warga asing yang cuba memasuki negara ini tanpa dokumen sah ditahan semasa sedang bersembunyi di bahagian tempat duduk belakang sebuah kereta semasa pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Perlis, semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Imigresen negeri berjaya mengagalkan cubaan menyeludup masuk dua wanita warga asing yang disembunyikan di dalam sebuah kenderaan semasa pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, semalam.

Pengarahnya, Mohammad A’sim Md Ali berkata, penahanan sekitar pukul 11 pagi itu dibuat setelah pegawai bertugas di kaunter pemeriksaan kenderaan keluar masuk mengesan gerak-geri mencurigakan seorang pemandu wanita warga Thailand yang disyaki membawa warga asing berkenaan.

Mohammad A’sim berkata, pemeriksaan lanjut yang dilakukan terhadap kenderaan dipandu wanita itu menemukan dua wanita warga asing sedang bersembunyi di bahagian tempat duduk belakang.

“Pemeriksaan mendapati dua warga asing itu terdiri daripada warga Vietnam dan Myanmar yang bersembunyi di bahagian tempat duduk belakang dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya di sini, hari ini.

Mohammad A’sim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua wanita terbabit gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah bagi memasuki negara ini.

Katanya, siasatan juga mendapati semua warga asing termasuk pemandu kenderaan itu juga berusia lingkungan 27 hingga 60 tahun.

“Susulan itu, warga asing terlibat bersama sebuah kenderaan jenis Toyota Corolla Altis bernombor pendaftaran Thailand telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Katanya, kejayaan tersebut merupakan kesinambungan daripada usaha penguatkuasaan berterusan Imigresen Perlis yang sebelum ini turut menyertai Ops Bersepadu di Sekatan Jalan Raya (SJR) KM27, Padang Besar pada Sabtu lepas.

Katanya, operasi tersebut melibatkan kerjasama strategik bersama beberapa agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan beberapa lagi.

“Sepanjang operasi itu, seramai 146 individu terdiri daripada warganegara Malaysia, Thailand dan Singapura telah diperiksa tanpa sebarang kesalahan imigresen dikesan.

“Di samping itu, bahagian penguatkuasaan terus mempergiat pelaksanaan operasi pemantauan, pengesanan, verifikasi dan perekodan kehadiran warga asing secara berterusan di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang imigresen ditetapkan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN