PETALING JAYA: Dua pemandu yang cedera dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Simpang Renggam, Johor kelmarin menjadi individu terawal di negara ini yang menerima manfaat di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau Lindung 24 Jam sejak ia berkuat kuasa semalam.
Mereka ialah Husnizam Hisamudin, 43 dan Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22 yang disahkan sebagai pencarum aktif di bawah Akta 4, sekali gus melayakkan mereka menerima bayaran cuti sakit dan faedah hilang upaya kekal menerusi skim berkenaan yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, maklumat awal perubatan menunjukkan Husnizam mengalami kecederaan pada bahu dan tangan manakala Muhammad Amirul cedera di bahagian mulut.
Katanya, kedua-dua mangsa juga layak menerima rawatan implan, peralatan pemulihan serta rehabilitasi tanpa had mengikut keperluan.
“Ramai yang memahami bahawa Perkeso memberi perlindungan apabila kemalangan berlaku di tempat kerja atau semasa menjalankan tugas.
“Namun melalui Lindung 24 Jam, perlindungan sosial kini diperluaskan kepada kemalangan yang berlaku di luar skop pekerjaan termasuk pada hari cuti.
“Tragedi ini membuktikan musibah boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan lokasi. Lindung 24 Jam memastikan pencarum dan keluarga mereka terus mendapat perlindungan sewajarnya ketika berdepan kesukaran,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mohammed Azman berkata, waris kepada tiga mangsa yang maut dalam kemalangan tersebut juga layak menerima faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Lindung Pekerja).
Beliau berkata, sebaik sahaja kejadian berlaku, Skuad Perkeso Prihatin digerakkan serta-merta bagi menyemak maklumat semua mangsa dan mengadakan lawatan untuk menyalurkan bantuan Lindung 24 Jam dengan kadar segera.
Katanya, meskipun kejadian berlaku di luar waktu bekerja, waris mangsa masih dilindungi oleh Perkeso berdasarkan kelayakan masing-masing.
“Pelaksanaan skim baharu yang bermula secara rasmi pada 1 Jun lalu itu memperluaskan perlindungan pencarum tanpa mengira waktu dan lokasi kejadian menerusi konsep Lindung 24 Jam.
“Langkah proaktif ini memastikan mana-mana Orang Berinsurans (OB) yang ditimpa musibah di luar waktu tugasan hakiki mereka tetap mendapat pembelaan sewajarnya, sekali gus menutup kelompangan yang wujud sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, Perkeso merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi dugaan berat kehilangan insan tersayang.
“Ini membuktikan setiap caruman yang dibuat oleh pencarum Perkeao tidak pernah sia-sia kerana ia akan digunakan untuk membantu mereka yang lain ketika ditimpa musibah. Inilah objektif utama mengapa Perkeso memperkenalkan inisiatif Lindung 24 Jam yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.
“Kita mahu menyediakan benteng keselamatan sosial yang mampan dan utuh apabila musibah melanda tanpa diduga, seperti kes menyayat hati ini,” katanya.-UTUSAN.










