RANTAU PANJANG: Seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang penyimpanan dan menyeludup pod rokok elektronik atau vape sejak dua tahun lalu ke Thailand terbongkar selepas dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) kelmarin.
Tangkapan ke atas suspek berusia 33 tahun itu di sebuah premis di Jalan Lubok Stol di sini membawa kepada rampasan 1,800 pod vape bernilai RM180,000.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussian berkata, hasil soal siasat awal suspek mengaku terlibat dalam aktiviti penyeludupan pod vape sejak dua tahun lalu.
Katanya, suspek mengaku bekerja dengan seorang lelaki warganegara Thailand yang membuat tempahan stok pod vape dari Kuala Lumpur sebelum dihantar ke alamat premis tersebut melalui perkhidmatan kurier.
“Lelaki berkenaan menerima upah sebanyak RM20.00 bagi setiap kotak pod vape yang diuruskan.
“Barangan tersebut kemudian akan diseludup masuk ke Thailand melalui Pengkalan Haram Pak Su Rani di sini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, permintaan tinggi dipercayai menjadi punca barangan berkenaan di seludup ke negara jiran walaupun kerajaan Thailand mengharamkan vape.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.-UTUSAN










