Ciri-ciri keselamatan bangunan sekolah perlu ditambah baik

Ciri-ciri keselamatan bangunan sekolah perlu ditambah baik

SEBANYAK 1,500 sekolah terpilih di seluruh negara menyertai Program Reformasi Sekolah yang bermula minggu ini.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aspek keselamatan ba­ngunan dan infrastruktur sekolah di negara ini perlu ditambah baik bagi me­ngelak insiden pelajar terjatuh dari tempat tinggi berulang.

Koridor, tangga dan dinding penghadang di setiap tingkat merupakan ka­wasan yang perlu diberikan keuta­ma­an kerana sering men­jadi tempat tumpuan pelajar berkumpul.

Pensyarah kejuruteraan awam, Dr. Noor Azim Mohd. Radzi ber­kata, ba­ngunan sekolah termasuk yang sudah lama beroperasi perlu dinilai semula mengambil kira aspek perubahan saiz fizikal pelajar ketika ini.

“Ia juga mengambil kira kepadatan bangunan, corak pergerakan harian dan tingkah laku penggunanya.

“Penilaian semula perlu di­buat terhadap ketinggian penghadang, jarak bukaan railing, kekuatan sambungan, tahap kakisan, keretakan konkrit dan kestabilan susur tangan.

“Ini termasuk keupayaan penghadang menahan beban mendatar apabila pelajar bersandar, bertolak-tolakan atau berkumpul di kawasan koridor dan tangga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam tempoh setahun lalu, sekurang-kurangnya lapan kes murid dan pelajar sekolah jatuh dari bangunan atau struktur sekolah termasuk sehingga menyebabkan kematian telah dilaporkan di seluruh negara.

Kes-kes tersebut melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah termasuk kejadian di ba­ngunan asrama, koridor, tingkat bangunan sekolah dan kawasan tinggi dalam premis pendidikan.

Noor Azim yang merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Kejurute­raan Awam, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam pada itu berkata, untuk tujuan itu, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mula melaksanakan audit ke­selamatan fizikal khususnya terhadap bangunan sekolah ber­tingkat.

“Audit itu perlu meliputi kawasan berisiko termasuklah pelantar, balkoni, telaga udara, bumbung rata dan ruang terbuka yang boleh diakses pelajar yang tidak hanya tertumpu kepada kekuatan struktur utama ba­ngunan,” katanya.

“Dalam banyak keadaan, struktur utama bangunan mungkin masih mempunyai kapasiti mencukupi namun elemen perlindungan pengguna seperti penghadang, railing dan susur tangan boleh menjadi titik risiko akibat faktor usia, kakisan, penyelenggaraan tidak mencukupi atau perubahan corak penggunaan bangunan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ar. IDr. Dr. Fadli Arabi berkata, reka bentuk sekolah pada asasnya sudah mengambil kira keselamatan pelajar melalui piawaian arkitek, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan KPM.

Katanya, aspek keselamatan seperti reka bentuk koridor, tangga dan ketinggian susur tangan sudah dinyatakan dalam reka bentuk piawai JKR serta Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Bagaimanapun, katanya, ba­ngunan sekolah lama khususnya yang berusia lebih 10 tahun dan tidak mempunyai Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Kelayakan Menduduki (CF) perlu melalui semakan semula.

“Penggunaan tembok konkrit dengan ketinggian yang selamat harus diutamakan dalam reka bentuk dan perlu disemak me­lalui proses validasi reka bentuk serta audit tapak bina agar ciri keselamatan ini dipatuhi dalam setiap peringkat pembangunan,” katanya.

Fadli berkata, masih banyak sekolah di negara ini berusia lebih 20 tahun dan tidak melalui proses audit mengikut standard piawaian semasa.

Katanya, KPM perlu mengenal pasti sekolah terbabit dan menjalankan audit keselamatan pengguna terutama di ruang kritikal seperti koridor dan tangga.

Langkah itu boleh meng­elakkan risiko pelajar jatuh dari tingkat tinggi namun pelaksa­naannya perlu mengambil kira kesan terhadap persekitaran pembelajaran.

“Penggunaan jeriji secara konvensional boleh menyebabkan sekolah kelihatan seperti terpenjara dan menjejaskan suasana pembelajaran.

“Ciri keselamatan boleh dipertingkatkan melalui kaedah lebih praktikal seperti penggunaan invisible cable grill yang banyak digunakan di balkoni pangsapuri tinggi tanpa menghalang pemandangan keluar.

“Kejadian pelajar jatuh bangunan sekolah juga perlu dilihat daripada pelbagai sudut terma­suk reka bentuk fizikal, pemantauan sekolah dan tingkah laku pelajar,” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Seni Bina dan Alam Bina UKM, Ts. Dr. Bismiazan Abd. Razak pula berkata, jeriji boleh dipertimbangkan di lokasi tertentu yang dikenal pasti berisiko tinggi tetapi tidak wajar dijadikan standard mandatori secara menyeluruh tanpa kajian teknikal.

Katanya, jeriji boleh membantu mengurangkan risiko terjatuh namun pemasangan menyeluruh di koridor perlu dinilai teliti kerana boleh bercanggah dengan prinsip keselamatan kebakaran.

Katanya, laluan keluar mesti sentiasa bebas daripada hala­ngan dan boleh digunakan pada bila-bila masa manakala jeriji yang dikunci boleh menyebabkan pelajar terperangkap ketika berlaku panik atau kebakaran.

“Jika pemasangan dibuat secara ad hoc, risiko baharu boleh wujud termasuk keretakan pada konkrit, sambungan tercabut, kakisan pada besi atau anchor, serta kegagalan apabila jeriji menerima beban hentakan atau tekanan mendatar.

“Pendekatan lebih sesuai ialah intervensi berasaskan risiko de­ngan memberi tumpuan kepada kawasan benar-benar berbahaya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×