KOTA BHARU: Sebanyak 10 buah rumah kediaman di Jalan Kampung Cina di sini terbakar hari ini.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Zazuki Shafei berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 12.34 tengah hari.
Katanya, seramai 20 pegawai termasuk anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dan Kota Darul Naim telah ke lokasi.
“Pasukan pertama tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian pada pukul 12.39 tengah hari. Hasil pemeriksaan awal mendapati kebakaran melibatkan 10 unit rumah kediaman jenis separuh kekal.
“Bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zazuki memberitahu, kerja-kerja memadam kebakaran masih lagi dijalankan.
Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-UTUSAN










