Warga Thailand serbu ICQS Rantau Panjang, pulang Aidiladha

Warga Thailand serbu ICQS Rantau Panjang, pulang Aidiladha

WARGA Thailand yang bekerja di negara ini menyerbu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung masing-masing. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Ratusan warga Thailand yang bekerja di negara ini menyerbu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung masing-masing.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kesesakan mula berlaku seawal pukul 6 pagi apabila deretan kenderaan beratur panjang untuk menyelesaikan urusan dokumentasi di pintu sempadan berkenaan.

Seorang warga Thailand, Dollah Mat Roni, 30, berkata, dia menempuh perjalanan selama lapan jam dari Kuala Lumpur untuk tiba di Rantau Panjang demi pulang beraya bersama keluarga di Patani, Thailand.

“Setiap tahun saya pulang beraya di Thailand kerana kedai tomyam tempat saya bekerja tutup sempena Aidiladha. Tauke saya orang Rantau Panjang dan kami pulang menaiki kereta bersama,” katanya.

Sementara itu, Wan Seman Wan Mat, 23, berkata, meskipun Thailand menyambut Aidiladha pada Khamis, dia memilih pulang lebih awal.

“Kedai makan tempat saya bekerja sudah tutup seminggu sempena cuti Aidiladha. Terpaksa pulang awal meskipun Thailand beraya pada Khamis ini,” katanya.

Wan Seman berkata, cuti lebih awal memberi ruang kepadanya membuat persiapan kerana berhasrat melaksanakan ibadah korban.

“Saya mengambil satu bahagian korban hasil wang yang dikumpul bekerja di Malaysia. Tahun ini sambutan Aidiladha lebih meriah kerana semua adik-beradik berkumpul,” katanya.

Bagi Natrah Ibrahim, 27, pula, keadaan sesak di pintu sempadan sudah menjadi kebiasaan setiap kali musim perayaan.

“Saya terpaksa beratur panjang untuk urusan dokumen imigresen kerana ramai perantau pulang hari ini. Keadaan sesak seperti ini memang biasa bagi rakyat Thailand setiap kali pulang beraya dan dijangka berterusan sehingga pagi hari raya ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN