HULU LANGAT: UMNO setakat tidak membantah cadangan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik walaupun ia masih berada dalam proses kajian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bagaimanapun RUU itu memerlukan persetujuan semua parti politik sebelum dimuktamadkan.
“Saya yang selalu buat kerja undang-undang untuk parti. Setakat ini, tiada pula bantahan daripada UMNO (RUU Pendanaan Politik) tetapi kita tidak bawa (cadangan) ini secara formal lagi, kerana ia perlu dibuat rujukan pada setiap parti politik terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Perjumpaan Awam (townhall) Kerangka Akauntabiliti Madani di Akademi Perundangan Negara (APN) di Bandar Baru Bangi di sini hari ini.
Bagaimanapun, Azalina tidak memberitahu mengenai parti politik yang membantah cadangan penggubalan RUU berkenaan.
Baru-baru ini, Azalina berkata, RUU berkenaan memerlukan persetujuan daripada semua parti politik memandangkan parti-parti akan terikat dengan peruntukan itu selepas dikuatkuasakan.
Menurutnya, kajian berkaitan pendanaan politik sentiasa dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) bagi memastikan cadangan akta itu dapat dilaksanakan secara efektif.
Sebagai rekod, kajian awal berkaitan RUU itu sudah bermula sejak 2019 oleh Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) termasuk dua sesi libat urus pada 2022.-UTUSAN.










