IPOH: Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0 yang akan dilancarkan bulan hadapan memberi penekanan kepada bidang berteknologi tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penstrukturan kurikulum melalui TVET 2.0 itu melibatkan penambahbaikan kandungan kurikulum baharu bagi memastikan ia selaras dengan keperluan pasaran pekerjaan masa depan.
“Di samping mengekalkan kursus-kursus tradisional yang ada, kita akan memperkasa bidang baharu iaitu robotik, Internet Pelbagai Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui serta bidang lain yang sangat diperlukan oleh pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah AIM TVET Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini semalam.
Menurut Ahmad Zahid, penstrukturan itu turut membuka peluang lebih luas kepada pekerja gig termasuk penghantar makanan, penghantar barangan, pekerja industri perfileman serta sektor seni dan kebudayaan untuk meningkatkan kemahiran masing-masing.
Katanya, sektor animasi turut diberi perhatian khusus memandangkan permintaan tinggi daripada syarikat antarabangsa yang kini banyak menawarkan kerja subkontrak kepada syarikat tempatan.
“Bagaimanapun, terdapat kekurangan daripada segi animasi dan kita harap dengan TVET 2.0 ini lebih ramai lagi akan menceburi bidang ini, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan Suruhanjaya TVET Negara dan penggubalan Akta TVET bagi memperkukuh ekosistem pendidikan kemahiran negara.-UTUSAN.









