JERANTUT: Seorang Tok Batin Orang Asli Kampung Sungai Berjuang di sini, Sudin Abdullah, 65, sentiasa berasa sebak setiap kali mengenang detik pertama kali menatap Kaabah ketika menunaikan ibadah haji pada tahun 1995.
Dia yang baru dua tahun memeluk Islam ketika itu, mengakui pengalaman menunaikan haji dengan bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menjadi kenangan paling berharga dalam hidupnya.
“Pertama kali melihat Kaabah, saya terus menangis. Rasa diri ini terlalu kerdil tetapi dipilih Allah SWT untuk beribadat di tanah suci,” katanya ketika kepada Utusan Malaysia di sini.
Sudin yang sebelum Islam dikenali sebagai Yus Yoh berkata, sepanjang berada di Mekah, dia hampir tidak tidur kerana ingin memanfaatkan setiap detik bersolat dan berdoa di hadapan Kaabah.
Katanya, selepas pulang ke tanah air, dia tidak pernah lagi berpeluang menjejak kaki ke tanah suci kerana kekangan kewangan.
Dia yang hanya bekerja kampung berharap kerajaan, agensi agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat menaja golongan Orang Asli yang sudah lama memeluk Islam, khususnya imam, pendakwah dan guru agama untuk menunaikan haji setiap tahun.
“Saya sangat rindu dan berdoa agar hajat menunaikan umrah termakbul.
“Harapan saya cuma satu, sebelum menutup mata saya ingin sekali lagi bersujud di depan Kaabah,” katanya.-UTUSAN.










