Tiga lagi mayat mangsa bot karam ditemukan

Tiga lagi mayat mangsa bot karam ditemukan

MAYAT tiga wanita dipercayai PATI warga Indonesia yang ditemukan di perairan Pengkalan Bharu, Pantai Remis, Perak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Mayat tiga lagi mangsa bot karam di perairan Pulau Pangkor kelmarin, ditemukan terapung di perairan Pengkalan Bharu dekat Pantai Remis, di sini semalam.

Penemuan tiga mayat wanita itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditemui setakat ini adalah seramai tujuh orang.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, ketiga-tiga mayat itu ditemukan Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diterajui Maritim Perak.

Menurut beliau, mayat berkenaan ditemukan di sekitar perairan Pengkalan Bharu antara pukul 6 petang hingga 7 malam sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.

“Sehingga pukul 10 malam tadi, sebanyak tujuh mayat telah ditemukan dipercayai warga asing terdiri daripada seorang lelaki dan enam wanita.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222 bagi membantu siasatan.

Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dilancarkan susulan kejadian sebuah bot yang membawa 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia tenggelam di perairan Pulau Pangkor di sini kelmarin.

Aduan mengenai insiden itu diterima kira-kira pukul 5.30 pagi selepas seorang nelayan tempatan menemui mangsa terapung di laut sebelum Op Carilamat diaktifkan pada pukul 6 pagi.

Seramai 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia berjaya diselamatkan pada hari kejadian.

Difahamkan, kesemua mereka dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei menuju ke Malaysia, dengan beberapa destinasi termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

Operasi Carilamat yang memasuki hari ketiga hari ini diperluaskan meliputi kawasan seluas 343.80 batu nautika persegi. Operasi yang disambung semula pada pukul 7 pagi tadi itu tertumpu di tiga sektor pencarian iaitu sektor C-1, sektor C-2 dan sektor C-3.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN