Terpaksa tembak lembu mengamuk di kaki elak mudarat, lembu tak mati, tetap disembelih - Abu Bakar - Utusan Malaysia

Terpaksa tembak lembu mengamuk di kaki elak mudarat, lembu tak mati, tetap disembelih – Abu Bakar

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah tampil memberi penjelasan bagi mengelak salah faham atau kekeliruan berhubung video tular beliau menembak seekor lembu yang sedang mengamuk pada program korban perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis di sini semalam.

Beliau yang telah menyembelih sendiri 24 ekor lembu sebelum itu, berkata, lembu berkenaan yang terlucut tali telah mengamuk sekali gus telah mengundang mudarat kepada para petugas sebagai mana berlaku di lokasi-lokasi lain yang ada sehingga menyebabkan kematian.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis itu, beliau hanya menembak ke arah kaki lembu berkenaan dan selepas itu, proses penyembelihan dilakukan seperti biasa.

“Kita buat program korban membabitkan 25 ekor lembu. Hanya seekor yang talinya terlepas lari dan mengamuk, jadi kita terpaksa hentikanlah daripada mengelak sebarang mudarat atau bahaya kepada petugas atau orang ramai.

“Seekor lembu itu yang kita tembak tidak mati, ia dilepaskan mengenai kaki dan kemudian kita melakukan proses penyembelihan seperti biasa. Saya sudah sembelih 24 ekor lembu, yang satu ini sahaja kita tembak di kaki sebelum sembelih.

“Saya tembak bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti berlaku di beberapa lokasi lain di seluruh negara sehingga ada kes yang mengorbankan nyawa akibat ditanduk lembu,” katanya di sini hari ini.

Kes lembu mengamuk ketika proses penyembelihan sering kali dilaporkan dengan terbaharu suasana ibadah korban di Ulu Tiram, Johor Bahru kelmarin bertukar cemas apabila dua kejadian berasingan membabitkan kerbau mengakibatkan seorang lelaki maut, manakala seorang lagi cedera.

Dalam kejadian pertama kira-kira pukul 10 pagi di Kampung Tenang, mangsa dilaporkan ditanduk pada bahagian paha ketika membantu mengikat kerbau untuk persiapan korban bersama ahli keluarga.

Difahamkan, walaupun mengalami kecederaan parah dan kehilangan banyak darah, arwah masih sempat berjalan sendiri ke sebuah pacuan empat roda sebelum rebah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah.

Namun, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam akibat kecederaan saluran darah pada kaki kiri.

Beberapa jam kemudian, seorang lagi lelaki berusia 45 tahun turut cedera selepas ditanduk kerbau di Batu 19, Kampung Sungai Tiram dengan mangsa dilaporkan mengalami patah tulang rusuk kiri dan menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.

Semalam media melaporkan, Abu Bakar turun padang mengetuai proses penyembelihan 25 ekor lembu bersempena program korban perdana kawasan DUN Kuala Perlis di Dataran Lok 9 di sini.

Pada majlis itu, Abu Bakar menyembelih sendiri kesemua 25 ekor lembu berkenaan sebelum diagihkan kepada hampir 5,000 penduduk di kawasan tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN