KUALA LUMPUR: Filem pendek bersempena Sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan 2026
dihasilkan Kementerian Perpaduan Negara berjudul Singgah mengetengahkan nilai perpaduan, kasih sayang dan kebersamaan rakyat Malaysia dalam kepelbagaian budaya.
Nashkah berkenaan tampil dengan naratif sederhana namun penuh emosi, mengangkat kisah seorang wanita terkandas di perantauan tetapi akhirnya menemui makna sebenar sebuah keluarga dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Filem pendek bersempena sambutan perayaan budaya terbesar masyarakat Sabah dan Sarawak itu menampilkan kelainan menerusi gandingan pelakon muda berbakat iaitu Muhammad Mokhtar Iskandarsyah yang memegang watak utama sebagai Daniel, seorang pemuda kampung yang menjadi penghubung kepada perjalanan emosi watak Melina.
Turut membintangi karya tersebut ialah Kueh Mei Fung, Nurfatin Zulmisya Zulhazmi, Vallyssa Vallery Henry, Carvinnia Elzavina, Sindu Ramasundran, Dexter Lim Zhen Qin dan Abdul Rahman Lee. Selain itu, model dan pelakon baharu, Mohammad Eusoff Abu Talib turut membuat penampilan khas sebagai cameo yang sekali gus menyerlahkan lagi elemen silang budaya yang menjadi tunjang utama karya itu.
Berlatarkan suasana desa yang damai, Singgah membuka cerita dengan perjalanan Melina yang terkandas di kawasan sawah selepas keretanya rosak ketika dalam perjalanan pulang menyambut Gawai bersama keluarga di Sarawak.
Dalam keadaan panik dan keseorangan, Melina dibantu Daniel sebelum dipertemukan dengan sebuah komuniti kecil yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan latar budaya.
Daripada situ, jalan cerita berkembang menjadi sebuah kisah penuh nilai kemanusiaan.
Antara kekuatan utama filem tersebut ialah penggunaan dialog pelbagai dialek termasuk Sabah dan Sarawak yang memberi rasa autentik kepada keseluruhan penceritaan.
Penonton turut disajikan dengan elemen budaya seperti makanan tradisional, tarian Sumazau dan Ngajat serta suasana persiapan sambutan Gawai dan Kaamatan yang cukup dekat dengan kehidupan masyarakat Borneo.
Walaupun berdurasi pendek, Singgah berjaya menyampaikan mesej besar tentang perpaduan menerusi pendekatan ringan dan mudah difahami semua lapisan masyarakat.
Ia bukan sekadar filem perayaan, tetapi sebuah refleksi tentang realiti rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian budaya, bahasa dan kepercayaan.
Kemunculan karya seperti itu juga membuktikan bahawa filem pendek tempatan mampu menjadi medium penting dalam membina persefahaman sosial serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
Filem pendek tersebut boleh ditonton melalui media-media sosial Aaron Ago Dagang, Kementerian Perpaduan Negara dan agensi-agensi di bawah kementerian itu bermula 22 Mei ini.-UTUSAN










