PGA serbu kilang kayu haram di Pasir Mas - Utusan Malaysia

PGA serbu kilang kayu haram di Pasir Mas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara membongkar kegiatan sebuah kilang kayu haram yang dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu selepas menyerbu premis itu di Kampung Lubok Tapah di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 3.30 petang menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu pihaknya menahan enam lelaki termasuk pemilik kilang berusia 65 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit gagal mengemukakan lesen pengoperasian stor serta permit penggunaan mesin pemotongan kayu yang sah daripada Jabatan Perhutanan.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai mesin memproses kayu, jentera berat serta kira-kira 50,000 keping papan pelbagai jenis dan saiz yang dipercayai diproses secara tidak sah.

“Siasatan awal mendapati pemilik stor memperoleh bekalan kayu daripada dua ejen masing-masing di Perak dan Gua Musang.

“Kayu yang siap diproses pula dihantar ke sebuah kilang perabot di Lemal sebelum dijual di pasaran sekitar Kelantan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, sebelum ini tapak kilang tersebut dijadikan sebagai stor tempat penyimpanan kayu sahaja dan telah disewa pengusaha lebih 10 tahun.

Katanya, susulan itu pemeriksaan turut dijalankan di sebuah kilang perabot milik suspek di Jalan Tanah Merah, Lemal namun ia mempunyai lesen operasi yang sah dan tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 68 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313),” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN