'Perlis GSA akan terus berjuang sekali pun tinggal lapan orang' - Utusan Malaysia

‘Perlis GSA akan terus berjuang sekali pun tinggal lapan orang’

PERLIS GSA FC hanya dapat menurun lapan pemain dalam aksi menentang Kelantan WTS FC di Stadium Sultan Muhammad IV baru-baru ini.-UTUSAN/Gambar Kelantan WTS FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) akan terus bertahan sehingga akhir musim Liga A1 Semi Pro yang berbaki tiga perlawanan lagi meskipun terpaksa berdepan pelbagai kekangan.

Disebalik berdepan masalah kecederaan pemain, komitmen kerja serta kewangan, pasukan itu akan kekal berjuang di dalam liga sekali pun jika terpaksa beraksi dengan lapan pemain.

Presiden Perlis GSA, Izizam Ibrahim berkata, sememangnya diakui Perlis GA berdepan masalah kewangan khususnya selepas tidak dapat beraksi di Stadium Tuanku Syed Putra yang menjalani proses baik pulih.

Katanya, selain daripada tajaan, Perlis GSA juga sememangnya bergantung kepada hasil jualan tiket bagi menampung operasi pasukan.

“Bagaimanapun, kita tidak pernah mengalah dan meneruskan perjuangan dalam saingan liga dan meskipun terpaksa bermain lapan orang sebelum ini, kita masih tetap teruskan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sabtu lalu, aksi antara Kelantan WTS FC dan Perlis GSA terpaksa dihentikan apabila Singa Utara turun beraksi dengan hanya lapan orang pemain tanpa pemain simpanan.

Susulan itu, keputusan rasmi menyaksikan Kelantan WTS diberikan kemenangan 3-0 berdasarkan peraturan pertandingan.

Perlis GSA FC dalam satu kenyataan selepas itu memaklumkan beberapa faktor utama menjadi punca termasuk kecederaan serius pemain utama, penggantungan akibat kad serta komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan.

Isu kekurangan pemain itu bukanlah kali pertama berlaku apabila insiden sama pernah tercetus pada Mac lalu membabitkan perlawanan Kelantan WTS FC menentang Machan FC di Stadium Sultan Muhammad IV.

Sementara itu, Izizam berkata, tidak dinafikan, menguruskan pasukan bola sepak memerlukan sumber kewangan yang banyak dan menuntut pengorbanan.

“Disebalik kekangan tersebut, kami terus bertahan sehingga kini. Kita berharap penyokong dapat hadir ke stadium bagi memberikan sokongan sekali gus dapat bersama-sama membantu pasukan yang membawa nama Perlis itu menerusi hasil jualan tiket,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN