PETALING JAYA: Jumlah pengundi terkini di Johor dan Melaka bertambah lebih 100,000 orang setiap negeri itu berbanding daftar pemilih ketika pilihan raya negeri (PRN) lalu.
Berdasarkan data pengundi berdaftar setakat 20 April lalu, Johor mencatatkan jumlah pengundi seramai 2,725,559 membabitkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ia merupakan peningkatan seramai 125,762 orang ataupun 4.8 peratus berbanding 2,599,797 orang pengundi berdaftar pada PRN Johor 2022.
Di Melaka pula, jumlah pengundi terkini mencatatkan seramai 683,543 orang iaitu penambahan 188,348 pengundi ataupun 38 peratus berbanding PRN Melaka pada 2021 yang mencatatkan bilangan pengundi berdaftar seramai 495,195 orang.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus sementara itu berkata, kos PRN Johor dan Melaka jika diadakan pada tahun ini adalah sebanyak RM115 juta.
Katanya, sama ada kedua-dua PRN tersebut diadakan serentak mahu pun berasingan kosnya tidak menunjukkan perbezaan ketara.
“Kos tidak ada beza jika pilihan raya di negeri-negeri terbabit diadakan serentak atau tidak. Peruntukan yang dianggarkan SPR setakat ini adalah lebih kurang RM115 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, anggaran itu merangkumi antaranya elaun petugas pilihan raya, barangan keperluan pilihan raya seperti kertas undi dan dakwat serta logistik.
Sebelum ini, beliau memaklumkan bahawa penjimatan kos pilihan raya hanya akan berlaku sekiranya Parlimen dan DUN dijalankan secara serentak.
Pada masa sama, Khairul Shahril juga memaklumkan, SPR sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya apabila terdapat keperluan untuk ‘pesta demokrasi’ itu diadakan di mana-mana negeri.
DUN Melaka dijangka tamat pada 30 Disember depan manakala DUN Johor pula mempunyai tempoh sehingga April 2027.
Bagaimanapun, berdasarkan suasana politik masa kini, sekiranya DUN Negeri Sembilan yang masih bergolak turut dibubarkan, anggaran kos pembiayaan PRN turut akan meningkat dengan jumlah pengundi seramai 889,309 orang.-UTUSAN.










