KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia disaran memuat turun aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) dan melengkapkan pendaftarannya bagi menikmati kemudahan perkhidmatan digital imigresen yang lebih lancar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aplikasi itu diperkenalkan supaya pelbagai proses penting dilakukan terus menerusi telefon pintar tanpa perlu melalui proses rumit.
“Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited memperkukuh perkhidmatan digital demi memudahkan urusan rakyat.
“MyNIISe diperkenalkan bagi memberi pengalaman perjalanan dan urusan imigresen yang lebih lancar, cepat serta mesra pengguna,” katanya menerusi hantaran media sosial semalam.
Saifuddin berkata, aplikasi itu menawarkan perkhidmatan lebih mudah, pantas dan selamat selain menjimatkan masa serta tenaga.
“Ini langkah ke hadapan dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi lebih moden, efisien dan dekat dengan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, aplikasi MyNIISe boleh dimuat turun melalui App Store dan Google Play.
Berdasarkan infografik yang dikongsikan, pendaftaran MyNIISe boleh dibuat dengan membuka aplikasi berkenaan dan mendaftar menggunakan MyDigital ID sebelum memilih ‘Mula cipta profil’ serta mengimbas halaman foto pasport.
Pengguna kemudiannya perlu menyemak dan mengesahkan maklumat, mengambil gambar swafoto untuk tujuan pengesahan serta mencipta kata laluan akaun.-UTUSAN.










