Maut ditanduk kerbau, pelaksanaan korban dibuat sendirian tanpa permit - Utusan Malaysia

Maut ditanduk kerbau, pelaksanaan korban dibuat sendirian tanpa permit

Shazrul Idham Abd. Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kematian seorang lelaki tempatan akibat ditanduk seekor kerbau ketika menjalankan ibadah korban di Kampung Tenang, Sungai Tiram, di sini kelmarin dibuat secara persendirian di kediaman keluarga mangsa.

Kejadian itu turut menyebabkan seorang lagi lelaki yang turut cedera akibat patah tangan.

Ketua Kampung Ulu Tiram, Shazrul Idham Abd. Aziz berkata, kejadian itu berlaku di luar pengetahuan pihaknya serta ahli jawatankuasa lain kerana aktiviti korban itu dilakukan secara tertutup.

“Saya hanya tahu berkenaan insiden itu selepas berita mengenainya tular di media sosial. Kami pun tak sangka ada kejadian melibatkan kematian kerana yang kami tahu ada satu kejadian melibatkan kecederaan.

“Jika mohon permit, pelaksanaan ibadah korban akan dibuat ikut prosedur dan garis panduan keselamatan ditetapkan. Veterinar akan datang tengok keadaan tempat sembelihan, pagar, kawasan haiwan dan sebagainya.

“Tetapi bila dibuat sendiri tanpa permit, kita tak tahu dan sukar untuk pantau. Korban ini ibadah yang baik, tetapi perlu ikut garis panduan supaya kejadian tidak diingini dapat dielakkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tenang, hari ini.

Tambah Shazrul Idham, semua program korban yang dianjurkan pihak masjid di kawasan terbabit perlu memohon permit dan mematuhi garis panduan ditetapkan pihak berwajib sebelum boleh dilaksanakan.

“Sepanjang menjadi ketua kampung di sini, ini merupakan kejadian pertama membabitkan kematian ketika aktiviti korban dijalankan. Saya nasihatkan orang ramai untuk gunakan pusat sembelihan sah dan berdaftar untuk kurangkan risiko keselamatan,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak dilaporkan berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10 pagi.

“Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan saluran darah (vaskular) di kaki kiri. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan menunjukkan ia tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN