JOHOR BAHRU: Permintaan terhadap ternakan kerbau bagi pelaksanaan ibadah kerbau semakin meningkat dan menggalakkan.
Pemilik Gaban Farm di Felda Sungai Tiram di sini, Rosdi Suleiman, 56, berkata, harga bagi ibadah korban seekor kerbau ditawarkan antara RM6,500 hingga RM10,000 bergantung kepada saiz dan berat haiwan tersebut.
Katanya, dia telah menerima tempahan lima ekor kerbau sempena Aidiladha selain 20 ekor lembu serta 10 ekor kambing, tahun ini.
“Kebanyakan pembeli terdiri daripada penduduk tempatan yang membuat tempahan lebih awal bagi memastikan urusan korban berjalan lancar.
“Tahun lalu kami juga jual lima ekor kerbau dan sambutan diterima amat menggalakkan. Harga kerbau serta lembu tahun ini juga masih kekal seperti tahun lepas.
“Bagi lembu, harga ditawarkan antara RM5,000 hingga RM8,000 seekor manakala kambing dijual pada harga RM1,000 hingga RM1,500 seekor mengikut baka dan saiz,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Rosdi, proses penyembelihan akan dilakukan pada hari pertama Aidiladha selepas pihaknya memperoleh permit sementara daripada pihak veterinar bagi membolehkan penyembelihan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.
“Seramai 15 tukang sembelih akan bertugas sepanjang proses korban dengan dibantu penduduk kampung termasuk melibatkan kerja-kerja melapah dan mengagihkan daging kepada peserta korban serta golongan memerlukan,” katanya.
Sementara itu, dia berkata mana-mana pelanggan yang ingin melakukan ibadah tersebut boleh mengunjungi ladang berkenaan untuk melihat sendiri keadaan haiwan ternakan sebelum membuat pembelian.-UTUSAN.










