PETALING JAYA: Kerajaan akan menumpukan usaha memperkasa ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) di negara ini menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif.
Ia sebagai persediaan negara mendepani cabaran kewangan serta ketidaktentuan rantaian ekonomi global termasuk krisis tenaga susulan konflik Asia Barat ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu juga selari dengan tekad menjadikan ketiga-tiga bidang berkenaan sebagai pemacu utama penyelesaian ekonomi negara dengan setiap perancangan dan pelaksanaan mesti digerakkan secara lebih strategik dan berkesan.
Katanya, beberapa inisiatif tersebut berasaskan misi yang diyakini mampu mengoptimumkan sumber, merangsang pertumbuhan ekonomi mampan serta memacu pembangunan berteraskan inovasi dan teknologi bernilai tinggi.
“Pendekatan ini amat penting, khususnya dalam memperkukuh sinergi strategik antara Kerajaan Madani, sektor swasta serta institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Ia demi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemah kepada manfaat nyata buat rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook beliau semalam.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) Bilangan 1 Tahun 2026 di Putrajaya.
Sementara itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan antara inisiatif berimpak tinggi yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan adalah Inisiatif Kebangsaan Berorientasikan Misi.
“Ia termasuk pelaksanaan dengan kerjasama pihak kerajaan dan swasta. Turut dibincangkan adalah cadangan bagi memacu inovasi global melalui pelaksanaan MyRDI,” katanya.-UTUSAN.










