Kerajaan negeri tubuh Peneraju, pandu hala tuju pembangunan Perlis - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri tubuh Peneraju, pandu hala tuju pembangunan Perlis

ABU Bakar Hamzah dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembangunan Negeri Perlis (Peneraju), iaitu platform tertinggi bagi memandu hala tuju pembangunan negeri Perlis secara lebih tersusun, strategik dan berfokus.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, kewujudan Peneraju juga selaras dengan aspirasi Perlis yang progresif, sejahtera dan berpendapatan tinggi menjelang 2040.

Katanya, agenda pembangunan negeri ini merupakan fokus utama beliau selepas menggalas tugas sebagai Menteri Besar.

Justeru katanya, bagi memastikan tabdir urus berkesan di dalam membawa agenda pembangunan tersebut, mekasnisme pemantauan dan penilaian secara komprehensif tersebut perlu diwujudkan.

“Peneraju diwujudkan itu bukan sekadar memantau dan menilai jabatan atau agensi kerajaan semata-mata malah stateholder lain seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan anak syarikat kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, fungsi jawatankuasa tersebut tidak bercanggah dengan undang-undang tubuh negeri, tidak mengambil kuasa statutori Exco atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ia ditubuhkan melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri atau melalui enakmen jika melibatkan kuasa yang lebih besar,” katanya ditemui selepas mesyuarat Exco di sini semalam.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu juga bagi memantau, memacu pembangunan negeri Perlis seiring dengan aspirasi pembangunan negeri yang digariskan di dalam Rancangan Struktur Negeri Perlis 2040.

“Aspirasi itu bertemakan negeri progresif, sejahtera dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2040.

“Jawatankuasa ini boleh dianggap sebagai mekanisme pentadbiran di bawah kuasa eksekutif kerajaan negeri namun pemantauan dan penilaian prestasi jabatan dan agensi merentasi bidang dan sempadan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN