Katil sofa, khemah penebat haba antara penambahbaikan masyair

Katil sofa, khemah penebat haba antara penambahbaikan masyair

MUSTAKIM Mohamad bersama pengurusan operasi haji meninjau khemah masyair di Arafah, Mekah, Arab Saudi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Operasi Masyair 1447H menampilkan kelainan baharu buat jemaah Malaysia apabila Lembaga Tabung Haji (TH) menaik taraf kemudahan penginapan lebih selesa dan premium buat mereka.

Ia termasuk penggunaan katil sofa dan khemah berpenebat haba untuk menghadapi cuaca lebih 40 darjah Celsius di Tanah Suci.

Selain itu, antara perubahan paling ketara penambahan kapasiti tandas lebih lima kali ganda dan unit pendingin hawa dipasang di setiap khemah dengan kedudukan kompresor ditempatkan di atas khemah bagi mengelakkan laluan pejalan kaki menjadi panas.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, kemudahan baharu itu dilihat sebagai antara pembaharuan dalam usaha meningkatkan keselesaan jemaah di Arafah dan Mina di samping mahu memastikan mereka dapat memfokuskan ibadah dan mencapai haji mabrur.

Katanya, setiap jemaah Malaysia disediakan katil sofa yang boleh dilaraskan mengikut keselesaan sama ada untuk duduk atau berbaring.

“Malah setiap jemaah akan mempunyai tempat sendiri. Kami juga akan meletakkan tag nama dan gambar bagi memudahkan mereka mengenal pasti tempat masing-masing. Maknanya, setiap orang pasti ada ruang sendiri dan tidak perlu berebut tempat.

“Selain itu, ruang penyimpanan khas disediakan bagi membolehkan jemaah me­nyimpan beg, barangan peri­badi dan kelengkapan mandian tanpa perlu meletakkannya di lantai sehingga mengganggu ruang pergerakan seperti mana sebelum ini,” katanya kepada pemberita ketika meninjau persiapan akhir Operasi Masyair Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, Mustakim berkata, kapasiti tandas di Mina turut ditingkatkan secara drastik iaitu hampir lima kali ganda berbanding musim lalu bagi mengurangkan kesesakan yang sering menjadi cabaran utama jemaah.

“Jika sebelum ini hanya sekitar 100 tandas disediakan, tahun ini jumlahnya meningkat kepada kira-kira 600 tandas,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan persiapan operasi Masyair ketika ini telah melebihi 90 peratus dan berada pada tahap memuaskan.

“Kita mahu jemaah fokus kepada ibadah. Sebab itu kita cuba sediakan segala kemudahan yang diperlukan supaya operasi berjalan lancar dan jemaah berada dalam keadaan selesa,” katanya.

Mustakim kemudian meng­i­ngatkan jemaah supaya sentiasa mematuhi arahan petugas haji dan bergerak mengikut maktab masing-masing bagi mengelakkan tersasar di kawasan masyair yang luas dan mempunyai rupa khemah hampir sama.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN