IPTA: Pelajar UEC perlu kepujian BM, Sejarah

IPTA: Pelajar UEC perlu kepujian BM, Sejarah

ANWAR Ibrahim menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan kepada Abdul Rasid Bakar sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 di Ipoh, Perak, semalam. – mingguan/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Semua pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang mahu memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu disertai dengan syarat bahawa mereka perlu lulus atau memperoleh kepujian dalam Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan yang diluluskan oleh Kabinet itu juga terpakai kepada semua pelajar termasuk sekolah antarabangsa, sekolah tahfiz dan sekolah aliran Arab.

“Dalam hidup ini mesti ada semangat tolak ansur, yang kita tidak boleh tolak ansur adalah berkaitan bahasa dan sejarah.

“Mahu menjadi rakyat negara ini, mesti faham tentang sejarah, Perlembagaan negara, sejarah kemerdekaan dan sejarah perjuangan yang lalu. Inilah mengapa akhirnya kita putuskan untuk meletakkan syarat-syarat tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55, di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, suasana perbincangan berkaitan UEC kini jauh berbeza berbanding ketika beliau menerajui Kementerian Pendidikan kira-kira 40 tahun lalu.

Menurut Perdana Menteri, ketika itu kerajaan sukar memberi ruang kerana sekolah-sekolah persendirian Cina dilihat terpisah daripada landasan pendidikan kebangsaan.

Malah katanya, dalam bebe­rapa pertemuan, pemimpin per­satuan berkenaan juga enggan bercakap dalam bahasa Melayu.

Katanya, keadaan tersebut menyebabkan Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu, Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Arshad tersinggung dan bertindak meninggalkan sesi perbincangan.

“Itu 40 tahun lalu dan dalam pertemuan sekarang, semua wakil persatuan bercakap da­lam bahasa Melayu.

“Pelajar-pelajar dari seko­lah-sekolah Cina juga lebih daripada 80 peratus mengambil peperiksaan SPM,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengulangi harapannya agar keputusan kerajaan itu tidak terus dijadikan sebagai perbahasan politik.

“Dasar yang diluluskan oleh Jemaah Menteri jelas, kita izinkan dari sekolah aliran Arab, sekolah tahfiz, sekolah antarabangsa dan sekolah Cina dengan syarat Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Jadi saudara-saudara, sudahlah. Negara ini perlukan guru untuk memberi tumpuan pada bidang pendidikan,” katanya.

Sementara itu, katanya, ke­rajaan akan terus memberi tumpuan utama terhadap sek­tor pendidikan termasuk menye­mak semula beberapa keperluan peruntukan bagi memastikan bidang tersebut kekal relevan dan memenuhi tuntutan semasa.

Jelasnya, semakan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan perbelanjaan untuk pendidikan disalurkan secara optimum dan ditambah mengikut keperluan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN