Hanya suruhanjaya dapat selesai isu 3.22 juta pekerja gig

Hanya suruhanjaya dapat selesai isu 3.22 juta pekerja gig

LAPORAN Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Hanya menerusi penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dapat menyelesaikan pelbagai isu dan masalah berpanjangan yang membelenggu kira-kira 3.22 juta pekerja dalam sektor tersebut.

Presiden Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kewujudan suruhanjaya itu penting sebagai badan induk yang mempunyai kuasa menyelaras serta melindungi kebajikan seluruh penggiat ekonomi gig di negara ini.

Menurut beliau, pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang berkuat kuasa 31 Mac lalu masih belum mampu menangani realiti sebenar sektor berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini kerana akta itu diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia sedangkan ekonomi gig merentasi pelbagai kementerian dan sektor.

“Pekerja gig bukan sahaja berdepan isu keselamatan pekerjaan dan caruman sosial malah terikat dengan aspek kesihatan, pengangkutan, percukaian serta teknologi digital.

“Kementerian Sumber Manusia tidak boleh memberikan arahan kepada Kementerian Kesihatan atau Kementerian Pengangkutan. Oleh itu perlu wujud badan kawal selia yang merentas kementerian dan mempunyai kuasa membuat polisi serta keputusan sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini mengenai jaminan kerjaya kira-kira 3.22 juta pekerja dalam ekonomi gig terutama aspek kebajikan dan perlindungan yang masih kabur meskipun Akta 872 telah berkuat kuasa pada 31 Mac lalu.

Pekerja gig khususnya pemandu e-hailing, penghantar makanan dan barang (rider) serta kontraktor bebas, mereka mengakui belum berasa sebarang impak positif daripada peruntukan undang-undang tersebut.

Mohd. Sharkar sementara itu berkata, penubuhan SEGiM bukan lagi rahsia apabila Kabinet secara dasar sudah pun meluluskannya.

Ujarnya, SEGiM boleh me­nya­tukan dasar pekerja gig merentas kementerian sekali gus mengelak percanggahan polisi yang selama ini membelenggu sektor tersebut.

“Tanpa suruhanjaya ini, pekerja gig terus berada dalam zon kelabu, bekerja keras tetapi tanpa jaminan perlindungan asas,” katanya.

Menurutnya, penubuhan SEGiM kelak bukan hanya sebagai badan kawal selia tetapi menjadi simbol komitmen kerajaan dalam memastikan golongan pekerja gig tidak lagi terpinggir daripada arus pembangunan negara.

“Dengan adanya SEGiM, segala isu berkaitan kebajikan, latihan semula dan peningkatan kemahiran dapat diurus secara menyeluruh.

“Ini sekali gus memberi ja­minan bahawa penggiat gig terus dilindungi dan dihargai sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara.

“SEGiM akan memberikan tumpuan kepada lima aspek utama iaitu menyelaras dasar ekonomi gig, melindungi kebajikan penggiat, melaksanakan pembangunan ekosistem, mengawal selia peningkatan kemahiran dan menyelaras kerjasama strategik antara pe­kerja serta platform digital,” katanya.

Menurutnya, sektor ekonomi gig kini menyumbang kira-kira 17 peratus kepada Kelua­ran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan angka tersebut mampu melonjak melebihi 30 peratus dalam tempoh 10 tahun dengan adanya kawal selia yang tersusun.

“Potensi besar ini tidak boleh dipandang ringan. SEGiM akan memastikan ekosistem gig ber­kembang secara mampan dan memberi manfaat kepada semua pihak,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan SEGiM dalam me­ngawal selia sistem percukaian khususnya melibatkan platform antarabangsa.

“Ia agar hasil negara dapat dipertingkatkan dan keadilan diberikan kepada penggiat gig tempatan. Industri gig Malaysia akan lebih tersusun dan berdaya saing kelak,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN