Guna SOSMA tangkap penjenayah curi kabel

Guna SOSMA tangkap penjenayah curi kabel

LAPORAN muka hadapan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan tegas termasuk menggunakan Ak­ta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOS­MA) perlu diambil terhadap penjenayah ­curi kabel kerana ia menggugat ketenteraman awam.

Kegiatan mencuri kabel sama ada milik syarikat utiliti mahupun pengangkutan rel seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) adalah satu tindakan sabotaj terhadap infrastruktur kritikal negara dan jika tidak dikawal ia boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, ia tidak boleh dilihat sebagai kes kecurian biasa, sebaliknya perlu dianggap jenayah berat kerana mengancam keselamatan awam selain menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan dan syarikat berkaitan.

“Mereka ini sebenarnya pe­ngkhianat negara kerana tindakan mereka menjejaskan sis­tem pengangkutan, bekalan elektrik dan kemudahan infrastruktur penting negara. Ini bukan lagi kes curi biasa tetapi satu jenayah berat.

“Penjenayah ini boleh diambil tindakan di bawah SOSMA kerana dianggap memberi ancaman kepada keselamatan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Secara umum, SOSMA adalah undang-undang prosedur khas yang digunakan bagi menangani kesalahan berkaitan keselamatan negara di Malaysia.

Ia melibatkan kesalahan se­­perti keganasan, sabotaj, jenayah terancang, ancaman terhadap ketenteraman awam dan perbuatan yang menggugat keselamatan negara.

SOSMA selain itu membo­lehkan seorang pegawai polis boleh tanpa waran menangkap dan menahan mana-mana pihak yang berkenaan dengannya jika dipercayai terlibat dalam kesalahan ke­selamatan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang membentangkan pindaan terhadap di Dewan Rakyat pada Julai atau Ogos depan.

Pindaan berkenaan bagi me­nangani tempoh prosiding yang panjang dan memperkenalkan pengkelasan kesalahan mengikut tahap keseriusan.

Semalam akhbar ini me­laporkan, kecurian kabel landasan tren KTMB telah menggugat ke­selamatan ribuan penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu untuk pelbagai tujuan termasuk berulang-alik ke tempat kerja.

Tahun lalu, sebanyak 104 kes kecurian kabel berlaku di seluruh negara dan menyebabkan lebih 1,300 jam kelewatan kumulatif di seluruh rangkaian KTMB.

Sementara itu, Shahul Hamid berkata, akta sedia ada seperti Seksyen 379 Kanun Ke­seksaan tidak lagi relevan kerana hukumannya terlalu ringan sehingga gagal memberi kesan gerun kepada penjenayah yang semakin berani menjalankan kegiatan tersebut.

Beliau berkata, oleh itu ke­rajaan juga boleh mempertimbang untuk mewujudkan satu akta khas atau memperketatkan peruntukan di bawah Kanun Keseksaan dengan hukuman lebih berat.

“Antaranya hukuman penjara mandatori sehingga 10 ta­hun serta denda maksimum RM100,000 terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan itu.

“Sekiranya membabitkan warga asing, tindakan senarai hitam perlu diambil terhadap mereka agar tidak dapat lagi masuk ke negara ini,” katanya.

Beliau turut menggesa pe­ngendali infrastruktur seperti KTMB dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya meningkatkan tahap keselamatan dengan melabur dalam penggunaan teknologi tinggi bagi mengesan kegiatan jenayah lebih awal.

“Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), sensor ke­selamatan, sistem pengesanan pergerakan dan teknologi pemantauan pintar perlu diperluaskan terutama di kawasan panas yang sering menjadi sasaran penjenayah.

“Langkah-langkah ini perlu diambil bagi menangani kecurian daripada berleluasa,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, pe­nguatkuasaan lebih berkesan perlu diberikan perhatian bagi memastikan kegiatan kecurian kabel dapat dibendung secara menyeluruh.

Menurutnya, hukuman ju­ga perlu dikenakan terhadap pihak yang bersekongkol de­ngan penjenayah termasuk individu yang membeli kabel.

“Yang lebih mustahak adalah meningkatkan kecekapan mengesan cubaan melakukan kesalahan, mendakwa pembelinya dan juga mempertingkatkan pemantauan keselamatan di kawasan-kawasan yang memiliki aset berkenaan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN