TUMPAT: Tindakan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sanggup berhimpit di dalam sebuah kereta semata-mata mahu mencari pekerjaan di negara ini gagal selepas ditahan dalam Op Taring Wawasan di Pengkalan Kubor, di sini, semalam.
Kesemua PATI warganegara Myanmar itu ditahan pada pukul 10.50 malam selepas sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu mengesan sebuah kereta jenis Proton Preve yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan mendapati semua suspek berusia antara 20 hingga 37 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah semasa ditahan.
“Siasatan awal mendapati mereka masuk ke Malaysia dengan menaiki bot dari Thailand sebelum melalui laluan tidak diwartakan.
“Kesemua mereka mengaku membayar RM2,500 setiap seorang kepada ejen dari Myanmar yang menjanjikan pekerjaan dalam sektor pertanian di negara ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, semasa serbuan pemandu kereta tersebut telah melarikan diri.
Katanya, disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-UTUSAN










