Bau busuk dari rumah kedai bongkar kes bunuh

Bau busuk dari rumah kedai bongkar kes bunuh

RUMAH kedai di Pokok Mangga, Melaka Tengah, Melaka yang merupakan lokasi penemuan satu mayat dalam keadaan sudah hancur yang dipercayai dibunuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tanda tanya mengenai bau busuk dari sebuah rumah kedai di Pokok Mangga di sini membawa kepada penemuan satu mayat dalam keadaan sudah hancur dan dipercayai dibunuh.

Mayat berkenaan ditemukan dibungkus dalam lipatan tilam dengan kedua-dua tangan diikat sebelum polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes tersebut.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 7 petang semalam selepas pemilik rumah kedai berkenaan datang membuat pemeriksaan di premis tersebut.

Menurut beliau, pemilik premis bertindak demikian selepas gagal menghubungi penyewa rumah berkenaan sebelum terhidu bau busuk sebaik memasuki rumah itu.

“Pemeriksaan lanjut menemukan satu bungkusan tilam yang mengandungi mayat dalam keadaan telah hancur.

“Kami percaya mangsa telah meninggal dunia lebih dua minggu hingga sebulan berdasarkan keadaan mayat ketika ditemukan,” katanya semasa sidang akhbar selepas hadir ke Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Melaka Tengah dan Pengerusi Perkep Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Balai Polis Malim di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Dzulkhairi Mukhtar menyaksikan majlis serah tugas jawatan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner, Christopher Patit  kepada Superintenden Halim Abas.

DZULKHAIRI Mukhtar ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Melaka Tengah dan Pengerusi Perkep IPD Melaka Tengah di Balai Polis Malim hari ini.-UTUSAN/AMRAN MULUP

Menurut Dzulkhairi, identiti serta jantina mangsa masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang sudah reput.

Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat unsur-unsur pembunuhan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki Melayu berusia lingkungan 40 tahun untuk membantu siasatan. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau,” katanya.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati rumah tersebut disewa oleh seorang wanita sebelum dihuni anak lelakinya yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa.

Menurutnya, ketika ditahan semalam, suspek masih berada dalam keadaan khayal dan belum dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis.

“Polis percaya kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat selepas siasatan lanjut dijalankan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN