48 peserta KEMAS raih pingat pada Kejohanan Cef Dunia 2026 - Utusan Malaysia

48 peserta KEMAS raih pingat pada Kejohanan Cef Dunia 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 48 daripada 49 peserta daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang menyertai pertandingan Kejohanan Cef Dunia (WCC) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini berjaya mengutip pingat.

KEMAS dalam satu kenyataan memberitahu, lapan peserta memenangi ‘Excellent Gold’; 10 peserta memang emas; 24 menang perak serta enam lagi meraih gangsa dalam pertandingan yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam.

Menurut kenyataan itu, selain peserta tempatan, pertandingan tersebut turut diserahkan peserta antarabangsa daripada lebih 40 negara termasuk Thailand, Taiwan dan Singapura.

“Pencapaian ini membuktikan keupayaan warga KEMAS dalam menguasai kemahiran teknikal bertaraf antarabangsa, selain memperlihatkan kemampuan mengangkat identiti serta warisan kulinari tempatan ke pentas dunia.

“Kejayaan ini menjadi bukti KEMAS terus relevan sebagai institusi pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, bukan sahaja melahirkan tenaga pengajar dan peserta latihan kompeten, malahan mampu membentuk bakat tempatan yang berdaya saing pada peringkat global,” menurut kenyataan itu.

Tambah KEMAS, pertandingan tersebut merangkumi 50 kategori dalam bidang masakan, bakeri, pastri serta seni kulinari kreatif, sekali gus menjadikannya antara platform paling kompetitif.

“Penyertaan KEMAS terdiri daripada tenaga pengajar, peserta latihan kemahiran serta wakil negeri, yang membawa cabaran dalam pelbagai kategori seperti ‘Modern Free Style 1 Tier Wedding Cake’, ‘Creative Mooncake’, ‘Traditional Cuisine’, ‘Pasta Challenge’, ‘Pastry and Bun’ serta beberapa kategori seni kulinari kreatif lain.

“Gabungan kreativiti, inovasi dan persembahan moden dalam setiap hasil pertandingan turut menyerlahkan nilai kemahiran yang diterapkan menerusi program pendidikan kemahiran KEMAS, khususnya dalam bidang masakan dan seni kulinari,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, WCC 2026 edisi kelima itu turut melakar sejarah apabila diiktiraf ASEAN Records dan Asia Records sebagai kejohanan kulinari antarabangsa berulang terbesar berdasarkan jumlah negara peserta, bilangan cef bertanding serta penyertaan hakim antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN