RM5 bilion ringan beban PMKS

RM5 bilion ringan beban PMKS

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat ke ruang Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2026) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC2026) diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM5 bilion di bawah Sya­rikat Jaminan Pembiayaan Per­niagaan (SJPP) untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) susulan krisis tenaga global.

Bantuan itu antara tiga langkah segera bagi meringankan tekanan kos dan memastikan ke­langsungan perniagaan susulan tempias krisis Asia Barat.

Dua langkah lain ialah kelonggaran e-invois dengan mem­berikan tempoh peralihan tam­bahan untuk perniagaan de­ngan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta. Ini termasuk kebenaran mengeluar­kan e-invois disatukan dan tan­pa penalti dalam tempoh tersebut.

Selain itu, kerajaan memberikan pertimbangan secara inte­rim terhadap pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula ­barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eks­port susulan gangguan konflik, sehingga 31 Disember 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini, skim SJPP terus menjadi antara instrumen utama kerajaan dalam menyokong kelangsungan PMKS, dengan lebih 50,000 PMKS telah dibantu melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Menerusi jaminan SJPP terbaharu sebanyak RM5 bilion itu, kerajaan menyokong sektor yang terjejas terutama pembinaan, pertanian dan agri-makanan, logistik dan pengangkutan, serta pelancongan.

“Jaminan bagi sektor yang terkesan ini ditambah baik berbanding skim SJPP biasa melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus (biasa 70 peratus) dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun (biasa tujuh tahun).

“SJPP juga akan bekerjasama dengan pihak bank untuk memudah cara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman SJPP serta bantuan bayaran balik secara bersasar,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan terus memantau dan mengkaji keperluan untuk memudah cara layanan cukai bagi perniagaan yang terkesan daripada konflik Asia Barat.

Beliau menegaskan, dalam menghadapi tekanan global yang berpanjangan, kerajaan akan terus bertindak proaktif bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan.

“Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, pemain industri dan para usahawan agar setiap langkah yang diambil benar-benar membantu mengekalkan operasi perniagaan serta melindungi pekerjaan rakyat.

“Ini bukan situasi sementara; kita perlu bersedia untuk perubahan yang berperingkat dan berpanjangan,” katanya.

Perdana Menteri sebelum ini meneruskan sesi libat urus bersama PMKS Cina dan India selepas sesi sama diadakan bersama PKS bumiputera bagi mendapatkan gambaran langsung cabaran di lapangan supaya tiada segmen ekonomi dipinggirkan dan setiap suara didengar serta dibantu secara bersasar.

Kata Anwar, dalam keadaan tekanan global yang kian meruncing, kerajaan tidak berlengah sebaliknya setiap tindakan segera digerakkan berpandu maklum balas secara terus daripada pemain industri, bagi memastikan setiap langkah diambil benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

Sementara itu, Malaysia berjaya menarik keyakinan pelabur yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik glo­bal, dengan aliran masuk bon melebihi AS$2 (RM7.9) bilion direkodkan dalam beberapa ming­gu kebe­lakangan ini.

Menurut Anwar, aliran masuk itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh 10 bulan, berlaku ketika pasaran global berdepan ketidaktentuan susulan konflik berterusan di Asia Barat yang mendorong kenaikan harga tenaga serta aliran keluar modal dari beberapa pasaran.

“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dana global membeli lebih AS$2 (RM7.9) bon Malaysia, iaitu aliran masuk tertinggi dalam tempoh 10 bulan,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian ame­ran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, semalam.

Anwar berkata, nilai ringgit turut muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap asas ekonomi negara.

Katanya, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus tahun lalu, disokong aliran masuk pelaburan yang kukuh, khususnya dalam sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa.

“Semua ini tidak datang tanpa usaha. Kita komited secara berterusan terhadap pembaharuan dasar serta penglibatan aktif dengan syarikat dan pengurus dana, yang mempunyai banyak pilihan dalam menentukan destinasi pelaburan dan pembuatan mereka,” jelasnya.

Anwar berkata, pelabur turut mengambil maklum tentang konsistensi kerajaan dalam menunaikan komitmen, selain ketahanan ekonomi negara meskipun berdepan persekitaran luaran yang mencabar.

“Mereka melihat sebuah kerajaan yang menepati janji. Mereka juga melihat ekonomi yang kekal bertahan walaupun keadaan di sekeliling semakin merosot,” katanya.

Beliau menambah, keupayaan industri negara terus menjadi faktor utama daya tarikan Malaysia kepada pelabur, dengan industri tempatan menghasilkan komponen bernilai tinggi untuk rantaian bekalan global. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN